Home Buletin Semasa DUA LELAKI DIDENDA RM10,000 SETIAP KES SELEWENG DIESEL TANPA LESEN SAH

DUA LELAKI DIDENDA RM10,000 SETIAP KES SELEWENG DIESEL TANPA LESEN SAH

193
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Dua lelaki dijatuhkan hukuman denda masing-masing RM10,000 di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa selepas mengaku bersalah atas kesalahan menyeleweng diesel bersubsidi tanpa memiliki lesen yang sah.

Tertuduh, Mohamad Aiman Mohd Din, 31 dan Mohd Amiruddin Ramly, 34 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan berasingan dikemukakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Aiman didapati memiliki diesel sebanyak 832.525 liter di Hadapan Pejabat Cawangan Pembangunan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian pada jam 12.45 tengahari, 6 September 2023.

Sementara itu, Mohd Amiruddin pula didapati memiliki diesel sebanyak 780.535 liter di Tepi Jalan Semerak Kampung Dalam Rhu, Pasir Puteh pada jam 2.55 petang, 26 Julai 2023.

Kedua-dua kesalahan dilakukan tanpa lesen sah yang melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Terdahulu, Mohamad Aiman dalam rayuannya meminta mahkamah mengurangkan denda atas alasan perlu menyara keluarga, dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan tersebut.

Bagaimanapun, pendakwaan yang diwakili Pegawai Pendakwa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Kelantan, Muhammadi Iman Masjuri memohon hukuman berat kerana kesalahan itu memberi kesan buruk kepada negara.

“Isu penyelewengan mahupun penyeludupan barang kawalan ini menjadi perhatian yang amat serius oleh kerajaan.

“Kes seperti ini lah akhirnya menjadi sebab kerajaan terpaksa menaikkan harga dan akhirnya memberi kesan kepada pengguna minyak diesel yang terpaksa membayar lebih mahal daripada biasa,” katanya.

Hakim menegaskan bahawa kes penyelewengan minyak diesel boleh menyebabkan kerugian besar.

“Saya tengok tong-tong yang dibawa dalam kereta pun menakutkan, boleh meletup bila-bila masa,” ujar hakim.

Oleh yang demikian, kedua-dua tertuduh masing-masing didenda RM10,000 atau penjara dua serta tiga bulan jika gagal membayar denda, mereka bagaimanapun menjelaskan denda.

Mahkamah memerintahkan semua barang kawalan dan kenderaan digunakan dilucuthak kepada pihak berkuasa.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here