KUALA LUMPUR: Aktor popular, Fattah Amin tidak menyangka watak Hambali yang dijayakan menerusi drama Bidaah mencipta sensasi sehingga mula meraih perhatian peminat di Indonesia.
Memetik laporan Berita Harian, Fattah atau nama lengkap, Abdul Fattah Mohd Amin, 34, mengakui tidak pernah terlintas dalam akal fikiran bahawa naskhah cetusan idea Erma Fatima itu akan ‘meletup’.
Bagaimanapun, ketika kunjungannya ke Bali, Indonesia, baru-baru ini, Fattah dimaklumkan rakan aktor, Rangga Nattra bahawa lakonannya mendapat perhatian masyarakat setempat.
“Semasa penggambaran drama Bidaah, saya rasa biasa sahaja. Tetapi, apabila bercakap mengenai karya, kita pun tidak tahu. Rezeki jika cerita ‘meletup’. Perkara ini juga memang tak dijangka.
“Sebelum ini, saya pernah berlakon satu projek dengan Rangga dan kami bertemu di Bali.
“Rangga beritahu saya drama Bidaah memang popular di Indonesia. Rakan-rakan produksi dan pelakon lain minta Rangga kirim salam kepada ‘Hambali’,” katanya kepada BH Online.
Fattah memberitahu, dia menerima beberapa tawaran lakonan di negara jiran, namun, terpaksa menolak atas beberapa faktor seperti jadual padat dan sebagainya.
Bagaimanapun, bapa kepada seorang cahaya mata itu terbuka dan mempunyai keinginan sekiranya berpeluang melebarkan sayap di Indonesia.
“Setakat ini, ada terima tawaran, tapi jadual pula tidak mengizinkan.
“Kalau ada peluang, apa yang penting adalah karya dan karakter. Kalau seronok, saya lebih bersemangat mahu terokai. Insya-Allah, jika ada rezeki saya akan terima,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Fattah menggalas peranan utama dalam filem seram terbaharu arahan Dain Said, Kulit Wayang dengan membawa watak Pak Lee.
Selain Fattah, filem berkenaan turut menampilkan Pekin Ibrahim, Amanda Ang, Ezzaty Abdullah serta dua pelakon Indonesia, Reynavenzka Deyandra dan Jennairah Kamaratih Jiwa.
Diterbitkan Mico Studio Sdn Bhd, filem Kulit Wayang menjalani penggambaran di Terengganu sudah menemui penonton di pawagam. – BH Online –
IMedikel TV






