LONDON: Pemain tengah Liverpool, Alexis Mac Allister menganggap kejayaan menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini hanyalah ‘permulaan kepada sesuatu yang lebih hebat.’
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, di bawah bimbingan Arne Slot yang mengambil alih daripada Jürgen Klopp pada musim panas lalu, Liverpool menguasai saingan domestik dan menjuarai liga ketika berbaki empat perlawanan.
“Saya tidak menjangka kami akan memenangi liga dengan semudah ini, kerana kami masih dalam proses yang baru bermula,” kata Mac Allister kepada media.
“Bagi banyak pihak, ia satu perubahan besar. Jurulatih dan pasukan tahu kami masih boleh terus bertambah baik, dan semoga ini hanyalah permulaan kepada sesuatu yang hebat.”
Liverpool yang menamatkan musim lalu di tempat ketiga, memenangi 25 daripada 35 perlawanan liga musim ini dan hanya tewas tiga kali.
Konsistensi menjadi kunci utama, menurut penyerang Liverpool, Luis Díaz.
“Ramai tidak percaya pada kami, tetapi kami membuktikan kemampuan hari demi hari sejak awal musim,” kata pemain antarabangsa Colombia itu.
“Kami memperoleh keputusan baik dan kami percaya kepada jurulatih. Tambahan pula, pasukan ini dipenuhi pemain hebat dan keputusan positif banyak membantu.”
Mac Allister dalam musim keduanya di Liverpool menjaringkan lima gol liga, termasuk ketika menang 5-1 ke atas Tottenham pada 27 April, sekali gus menyaksikan Liverpool disahkan sebagai juara.
“Gol menentang Tottenham adalah gol paling penting dalam karier saya,” kata pemenang Piala Dunia 2022 bersama Argentina itu.
“Saya tidak tahu jika ia gol terbaik pernah saya jaringkan, tetapi ia sememangnya yang paling penting.
“Saya gembira dengan musim ini.
“Saya rasa ini ia detik terbaik dalam karier saya dan saya dapat menunjukkan di kelab hebat ini apa yang saya mampu lakukan.
“Tetapi saya selalu kata saya banyak bergantung kepada rakan sepasukan yang sangat membantu permainan saya.”
Díaz yang telah menjaringkan 12 gol liga musim ini, turut bersetuju.“Kami bukan siapa-siapa tanpa rakan sepasukan kami,” katanya.
“Saya sedang melalui detik yang hebat. Sejak saya tiba, ia masa penuh kebanggaan. Saya sentiasa berjuang dan bekerja keras untuk ini.”
Liverpool turut memasang impian untuk mara jauh dalam Liga Juara-Juara, namun tersingkir di pusingan 16 terakhir apabila tewas menerusi penentuan sepakan penalti kepada Paris Saint-Germain selepas keputusan agregat 1-1.
Mereka akan menerima kunjungan Arsenal pada Ahad sebelum menentang bekas kelab Mac Allister, Brighton, pada 19 Mei dalam saingan EPL. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






