Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
Pemandulan atau kasi adlah satu prosedur perubatan veterinar yang biasa dilakukan ke atas kucing jantan bagi membuang organ pembiakannya.
Ramai yang fikir mandulkan kucing jantan adalah tidak penting kerana ia sama sekali tidak boleh beranak.
Tetapi sebenarnya, kucing jantan yang tidak dimandulkan akan mendatangkan masalah di kawasan rumah kerana ia akan lebih suka merayau dan bergaduh dengan kucing lain.
Kepada pemilik si bulus jantan, mereka perlu tahu dengan mandulkan kucing jantan ini bukan sahaja dapat mengawal populasi tetapi juga boleh membuat ia menjadi lebih tenang, sihat dan senang untuk dijaga.
Kadang-kadang, kita juga rimas kerana si bulus sering bertindak agresif, malah lebih teruk adalah sembur kencing merata-rata menyebabkan bau yang tidak selesa.
Selain itu, apabila kucing jantan itu dimandulkan, pada masa sama, mereka juga kurang berisiko menghidap penyakit seperti kanser testis dan masalah hormon akan lebih berkurang.
Oleh itu, pemilik si bulus boleh mengambil inisiatif untuk memandulkan kucing dan proses pemandulan kucing jantan dipanggil ‘castration’.
Bagi mereka yang belum tahu akan cara untuk memandulkan si bulus, boleh rujuk pada artikel ini.
Pertama sekali, sudah tentu si bulus tersebut perlu dibawa ke klinik haiwan dan menjalani pembedahan itu dengan doktor veterinar yang bertauliah.
Antara cara seterusnya adalah:
1.Menjalani prosedur ringkas dan selamat: kucing jantan itu akan diberi bius penuh, kemudian doktor akan buang testis melalui potongan kecil pada skrotum.
2.Tidak perlu jahitan: bagi kucing jantaan, biasanya luka itu kecil sahaja dan akan sembuh dalam tempoh yang cepat.
3.Proses ambil masa singkat: pembedahan untuk membuang testis pada skrotumnya juga biasanya mengambil masa kurang daripada satu jam.
4.Pemulihan cepat: selepas menjalani pembedahan itu, kucing tersebut akan pulih dan kering sepenuhnya dalam masa tiga hingga lima hari.
Bagaimanapun, pemilik perlu memastikan tiada nanah atau jangkitan di bahagian belahan, malah lebih baik sekiranya kucing itu dikurung dalam tempoh pemulihan bagi memastikan kucing sembuh sepenuhnya.
Sementara itu, bagi kucing betina pula, proses pemandulannya dipanggil ‘spaying’.
Ia adalah proses dimana rahim dan kilang telur (ovari) dikeluarkan sepenuhnya dari kucing berkenaan bagi mengelakkan kucing betina itu bunting.
Prosedur ‘spaying’ membabitkan penggunaan bius yang penuh di mana kucing tidak sedar atau rasa sakit sepanjang prosedur dijalankan.
Sepanjang pembedahan, doktor akan membuat belahan kecil di perut untuk mengeluarkan ovari dan uterus kucing betina itu.
Seterusnya, luka bagi kucing betina akan dijahit menggunakan benang larut sendiri dan proses pemulihannya mengambil masa lebih lama berbanding kucing jantan iaitu tujuh hingga 14 hari.
Paling penting adalah pemilik perlu memantau kesan jahitan agar sentiasa kering dan bersih, tiada luka ataupun nanah di bahagian surgeri serta jahitan tertutup rapat dan cantik.
IMedikel TV






