Home Buletin Semasa MB KELANTAN KAGUM USAHA ACEH LAHIRKAN GENERASI AL-QURAN

MB KELANTAN KAGUM USAHA ACEH LAHIRKAN GENERASI AL-QURAN

348
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud melahirkan rasa kagum terhadap usaha masyarakat Aceh dalam membangunkan generasi al-Quran menerusi institusi tahfiz dan pesantren.

Menurut beliau, pendekatan sistematik yang dilaksanakan di wilayah tersebut memberi inspirasi kepada Kelantan dalam merealisasikan impian melahirkan sekurang-kurangnya seorang hafiz al-Quran dalam setiap keluarga.

“Saya teringat akan satu hasrat yang pernah disuarakan almarhum Tan Seri Datuk Bentara Setia Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, agar setiap keluarga di Kelantan melahirkan sekurang-kurangnya seorang hafiz al-Quran.

“Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Apa yang dilakukan di Aceh membuktikan bahawa pelaburan dalam pendidikan agama bukan sesuatu yang sia-sia, bahkan menjanjikan masa depan yang diberkati,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook rasmi beliau.

Tambah beliau, Kelantan dan Aceh bukan sahaja berkongsi gelaran “Serambi Mekah”, malah turut mempunyai persamaan dari segi kekuatan institusi pengajian Islam yang subur dan menjadi tunjang masyarakat.

Sepanjang lawatan rasmi ke Aceh, beliau sempat menziarahi beberapa institusi pendidikan Islam termasuk Rumah Tahfiz al-Furqan di Banda Aceh yang menawarkan silibus hafazan 30 juzuk dalam tempoh setahun.

Beliau turut dijemput sebagai tetamu dalam sesi rakaman podcast Furqan Plus Corner serta berpeluang meninjau perkembangan Pesantren Moderen Al-Manar di Lampermai, Krueng Barona Jaya.

“Semoga hubungan erat antara dua wilayah ilmu ini terus diperkukuh demi manfaat bersama, khususnya dalam melahirkan generasi celik al-Quran dan berakhlak mulia,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here