Home Hiburan DUA TAHUN KENA ‘SIDAI’

DUA TAHUN KENA ‘SIDAI’

Pelakon, Syafie Naswip, 32, mendedahkan pernah berdepan situasi menunggu bayaran lakonan sehingga tempoh dua tahun daripada sebuah syarikat produksi sebelum ini.

Memetik laporan Harian Metro, Syafie berkata, dia juga hampir membuat laporan polis untuk memastikan syarikat produksi terbabit menjelaskan bayarannya.

“Paling lama saya pernah kena ‘sidai’ (tunggu bayaran) sehingga dua tahun. Sampailah saya ugut mahu buat laporan polis barulah mereka (syarikat produksi) bayar.

“Tapi perkara itu sudah lama berlaku. Saya masih muda ketika itu iaitu sebelum saya berlakon filem Songlap bersama Shaheizy Sam pada 2011,” katanya yang bakal muncul dengan filem terbaru, Mantera.

Mengulas kejadian itu lagi, kata bintang filem Mukhsin dan Talentime ini, dia juga mengambil langkah lebih berhati-hati untuk mengelakkan perkara itu berulang.

“Sekarang saya sudah dewasa dan tiada lagi pihak yang cuba mengambil kesempatan.

“Kalau saya kata syarikat produksi perlu bayar sekian jumlah sebelum penggambaran, mereka perlu bayar. Sama juga kalau bayar selepas penggambaran tamat, paling lambat pun seminggu.

“Apabila kita pernah berdepan situasi bayaran lambat dan sebagainya, kita akan belajar. Jadi sebelum penggambaran bermula, saya akan teliti kontrak dari awal sampai akhir,” katanya.

Bagaimanapun, Syafie tidak berdendam dengan syarikat produksi terbabit kerana hanya menuntut haknya sebagai pelakon.

“Kami tidak bergaduh pun, kalau jumpa mereka, saya tetap bertegur sapa. Cuma saya akan tuntut hak saya sampai dapat seperti apa yang dipersetujui dalam kontrak. Jika mereka tidak boleh bayar, kena beritahu awal-awal. Jangan ‘sidai’ saya begitu,” katanya. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here