Home Sukan JDT ‘PERAM’ BERGSON UNTUK FINAL PIALA MALAYSIA

JDT ‘PERAM’ BERGSON UNTUK FINAL PIALA MALAYSIA

421
0

KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta’zim (JDT) benar-benar serius menjelang aksi final Piala Malaysia menentang Sri Pahang FC Sabtu depan apabila ‘menyimpan’ Bergson Da Silva lebih awal pada aksi terakhir Liga Super dengan Kuching City FC, malam tadi.

Memetik laporan Harian Metro, dalam aksi di Kuching, Sarawak itu, Bergson yang juga penyerang prolifik JDT dikeluarkan pada awal babak kedua bagi mengelak sebarang kecederaan, sekali gus memastikan ‘senjata utama’ itu sedia diturunkan dalam final itu nanti.

“Ini (menentang Kuching City) perlawanan terakhir kami (dalam Liga Super), tapi akan datang kami ada perlawanan yang amat penting, final (Piala Malaysia).

“Kami mahu menyimpan beberapa pemain untuk aksi final. Semua pemain mahukan detik yang baik dan semua pemain ingin beraksi di pentas akhir.

“Sekarang kami perlu fokus dan terus bekerja untuk menghadapi aksi final,” kata pengendali JDT, Hector Bidoglio selepas aksi berdepan Kuching City di mana skuad Harimau Selatan berjaya meraih kemenangan 2-0.

Kejayaan menewaskan Kuching City turut menyaksikan JDT yang juga juara 11 kali berturut-turut sejak 2014 menutup satu lagi saingan Liga Super dengan rekod tanpa kalah.

Ia adalah kali kelima JDT mengungguli saingan liga utama itu dengan rekod tanpa kalah selepas melakar kejayaan sama pada 2016, 2020, 2022, dan 2023.

Dalam perkembangan lain, pengendali Kuching City, Aidil Sharin Sahak berharap pasukannya akan bangkit dalam aksi terakhir liga berdepan Negeri Sembilan, Ahad ini walaupun pasukannya sudah sah kekal di kedudukan keempat. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here