Home Segmen Kesihatan PUTIHKAN GIGI DENGAN SELAMAT DAN BERKESAN

PUTIHKAN GIGI DENGAN SELAMAT DAN BERKESAN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

Pemutihan gigi adalah salah satu prosedur yang terkenal dalam kalangan masyarakat kita yang ingin tampil lebih cantik dan menawan.

Jadi, tidak hairan ramai yang menjalani prosedur tersebut bagi meningkatkan keyakinan diri mereka.

Pakar Pergigian Restoratif, Klinik Pergigian Kuala Krai, Dr Wan Ahmad Faiz Wan Jamil, berkata bagi mereka yang ingin melakukan prosedur pemutihan gigi, pihaknya perlu mengenal pasti punca dan juga masalah gigi pesakit terlebih dahulu.

“Kaedah pemutihan gigi ini bergantung kepada diagnosis yang kita lakukan. Maksudnya setiap pesakit yang memerlukan rawatan pemutihan gigi, kita akan mengenal pasti dulu punca dan masalah.

“Secara amnya kita boleh klasifikasikan masalah gigi yang berubah warna disebabkan faktor luaran (ektrinsik) dan faktor dalaman (intrinsik). Jadi setiap rawatan bergantung berdasarkan diagnosis yang kita buat,”katanya.

Menurut Dr. Wan Ahmad Faiz, kesan pemutihan biasanya bertahan antara dua hingga tiga tahun, bergantung kepada individu dan tabiat penjagaan mulut mereka.

“Secara umumnya teknik ataupun cara rawatan ada tiga iaitu satu, kita panggil in-office bleaching (di klinik) yang mana rawatan bleaching tu kita lakukan di klinik. Rawatan in-office ataupun rawatan yang dibuat di klinik pergigian lebih efektif kerana pesakit akan nampak kesan tu sebaik sahaja selesai rawatan di klinik. Kita boleh nampak perubahan daripada warna gigi berbanding rawatan yang buat di rumah. Pesakit selalunya memerlukan dua ataupun tiga kali untuk dia nampak kesan rawatan pemutihan gigi tu.

“Kedua, in-home bleaching (di rumah) iaitu rawatan yang kita lakukan di rumah tetapi di atas nasihat daripada doktor. Kalau rawatan di rumah atau home bleach, saya akan bekalkan pesakit dengan “bleaching tray” dan material untuk memutihkan gigi. Kita akan ajar pesakit bagaimana cara nak menggunakan peralatan itu.

“Yang ketiga adalah produk over-the-counter (OTC) ataupun produk yang kita boleh beli di farmasi ataupun di pasaran. Kebanyakannya adalah ubat gigi untuk pemutihan dan  kesannya adalah tidak seefektif berbanding yang kita lakukan di klinik pergigian,”katanya.

Dr Wan Ahmad Faiz berkata secara umumnya, prosedur pemutihan gigi adalah selamat, namun, terdapat beberapa kesan sampingan yang perlu pesakit tahu sebelum melakukan prosedur tersebut.

“Setiap rawatan memang akan ada kesan sampingan dan kita akan memaklumkan kepada pesakit terlebih awal supaya pesakit lebih bersedia untuk menghadapi sekiranya perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.

“Prosedur pemutihan gigi, salah satu kesan sampingannya adalah “transient tooth hypersensitivity”. Biasanya ia bersifat sementara dan akan berkurangan dengan sendirinya. Mereka akan merasa ngilu dalam tempoh beberapa hari.

“Cervical Root Resorption” ataupun resorpi akar gigi. Risiko yang jarang berlaku tetapi perlu diberi perhatian,”katanya.

Ramai yang beranggapan, prosedur memutihkan gigi boleh menghakis enamel gigi, namun, ini penjelasan Dr Wan Ahmad Faiz.

“Ia sebenarnya bergantung kepada ejen yang digunakan. Kalau di klinik, kebanyakannya menggunakan ‘peroxide agent’ untuk memutihkan gigi. Jadi tiada kesan pada enamel.

“Namun produk yang mempunyai ejen abrasif seperti silika ataupun arang, ia boleh menghakis permukaan enamel,”katanya.

Katanya pemutihan gigi masih boleh dilakukan bagi mereka yang mempunyai tampalan, crown atau veneer, tetapi kesan pemutihan mungkin tidak sekata.

Beliau berkata selepas menjalani prosedur pemutihan gigi, pesakit dinasihatkan untuk mengelakkan makanan dan minuman berpigmen seperti kopi, teh, kunyit atau produk tembakau bagi mengekalkan hasil rawatan pemutihan gigi.

Menurut beliau pemutihan gigi adalah salah satu prosedur yang semakin popular dalam kalangan masyarakat yang ingin memperbaiki penampilan dan kesihatan gigi.

“Secara umumnya, rawatan pemutihan gigi ini lebih kepada faktor estetik atau kecantikan. Manakala daripada segi fungsi lebih kepada psikososial sebab semua sedia maklum, gigi memainkan peranan semasa kita berkomunikasi dengan masyarakat.

“Jadi warna gigi yang lebih cerah, dia akan nampak lebih cantik berbanding warna yang sedikit kekuningan. Sekiranya pesakit yang mempunyai warna gigi sebegitu  dia akan memberi kesan kepada psikososial pesakit itu,”katanya.

Dr Wan Ahmad Faiz berkata bagi mereka yang ingin melakukan prosedur pemutihan gigi di klinik pergigian kerajaan (memerlukan rujukan ke unit pakar pergigian restoratif), kos rawatan bagi pemutihan gigi yang masih hidup (vital bleaching) adalah RM 1000 untuk kedua-dua rahang atas bawah (RM 500 bagi setiap rahang). Manakala rawatan pemutihan bagi gigi non-vital (non-vital bleaching) kos rawatan adalah RM 50 bagi setiap gigi.

Pemutihan gigi bukanlah prosedur kekal dan memerlukan penjagaan rapi selepas rawatan. Konsultasi bersama doktor gigi adalah penting untuk mendapatkan hasil yang terbaik dan mengurangkan risiko kesan sampingan.

IMedikel TV


LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here