Home Buletin Semasa TUJUH PELAJAR MRSM TERLIBAT KES BULI DISYORKAN TAMAT PENGAJIAN

TUJUH PELAJAR MRSM TERLIBAT KES BULI DISYORKAN TAMAT PENGAJIAN

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Seramai tujuh pelajar terlibat dalam kes buli di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Pulau Pinang, baru-baru ini ditamatkan pengajian.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Dr Asyraf Wajdi Dasuki berkata, berdasarkan keputusan jawatankuasa disiplin maktab, tujuh pelajar yang terlibat adalah termasuk dua pelajar membabitkan buli fizikal manakala lima lagi bersubahat.

Asyraf Wajdi berkata kesemua pelajar terbabit akan disyorkan menamatkan pengajian di MRSM kerana tidak ada sebarang kompromi dilakukan berhubung kes tersebut.

“Maaf saya tidak setuju untuk diberikan peluang kedua kerana sejak dari awal saya diamanahkan sebagai Pengerusi MARA, berulang kali saya ingatkan dan tegaskan bahawa prinsip saya YouTouchYouGo.

“Tiada kompromi dan tiada tempat untuk pembuli dan apa jua bentuk budaya buli di mana-mana Institusi Pendidikan MARA (IPMA) termasuk MRSM.

“Tidak kira anak sesiapa, Tan Sri, Datuk hatta anak orang berpengaruh macam mana sekalipun, jika terlibat dalam buli, tindakan tegas dan keras akan diambil,” katanya menerusi hantaran di Facebook, pagi tadi.

Beliau menegaskan agar mereka yang terlibat tidak perlu merayu kerana beliau tidak akan melayani pelaku-pelaku yang melanggar prinsip kemanusiaan itu.

Terdahulu, tular video berdurasi satu minit 31 saat memaparkan beberapa pelajar didakwa memijak dan duduk di atas seorang pelajar lain di atas katil.

Remaja lelaki berkenaan turut dilihat disebat dengan tali pinggang pada bahagian punggung.

Media sebelum ini melaporkan, Asyraf Wajdi memaklumkan akan menyiasat video tular dikaitkan dengan perbuatan buli membabitkan pelajar di MRSM di Pulau Pinang.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here