Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Yayasan Telekom Malaysia sekali lagi mengambil peluang menerusi Program Cahaya Ramadan dengan mengagihkan sebanyak 700 bubur lambuk kepada orang awam termasuk kakitangan TM di Kelantan.
Pengurus Besar TM Rangkaian Kelantan dan Terengganu, Khairul Anuar Ismail, berkata agihan tersebut bukan sahaja sebahagian daripada amal ibadat pada bulan puasa, tetapi ia juga bertujuan mengukuhkan semangat kebersamaan antara kakitangan TM memandangkan mereka dapat memasak secara beramai-ramai.

“Ini salah satu program dua dalam satu, selain kita nak edarkan bubur lambuk kepada orang awam, kita juga buat program ini sebagai ikatan antara kakitangan kerana mereka sendiri yang mengacau bubur lambuk dan di situ kita dapat melihat mereka bekerjasama.
“Apabila bulan puasa ini, perut kita masih kosong kan jadi saya rasa bubur lambuk ini sangat sinonim dengan kita apabila makan itu pencernaan itu menjadi mudah,” katanya ketika ditemui di TM Kota Bharu, di sini, pada Sabtu.
Khairul Anuar berkata, bubur lambuk kini mendapat tempat dalam kalangan masyarakat kerana semakin digemari oleh mereka tidak kira peringkat umur khusunya pada bulan puasa.
Tambahnya, aktiviti mengacau bubur lambuk dilakukan pada jam 10 pagi dan mula diagihkan pada jam 3 petang, semalam di sekitar jalan berdekatan TM, di sini.
Sebelum ini, IMedikel TV melaporkan Yayasan TM mengagihkan wang zakat dan bakul makanan kepada 150 golongan asnaf di sekitar Kelantan.
Susulan itu, pihaknya turut mengagihkan wang zakat dan bakul makanan kepada 50 “vendor” TM termasuk kontraktor keselamatan, tukang cuci dan sebagainya.
“Kita ada juga bagi edaran zakat dan bakul makanan kepada asnaf tapi di kalangan vendor telekom maksudnya tukang cuci, tukang sapu, sebenarnya kita nampak orang luar sahaja asnaf tapi orang dekat sekitar kita ada yang asnaf,” katanya.
IMedikel TV






