Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
RANTAU PANJANG: Cubaan tiga lelaki mengedar dadah jenis ganja di pangkalan haram Keri, di sini gagal apabila diketahui oleh sepasukan Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) ketika menjalankan Op Taring Wawasan, pada Khamis.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, sebaik sahaja ketiga-tiga suspek menyedari kehadiran pihak polis, mereka terus melarikan diri ke Thailand dengan menaiki perahu.
“Pihak kami melihat ketiga-tiga suspek terbabit dalam keadaan mencurigakan, kemudian terus melarikan diri ke Thailand kira-kira jam 8.15 pagi.
“Setelah memeriksa di tempat kejadian, kami menemukan tiga bungkusan mengandungi lebih lima kilogram dadah jenis ganja yang diletakkan di bawah tempat duduk sebuah motosikal no plat Thailand yang dipercayai ditinggalkan di kawasan terbabit.
“Dadah tersebut dipercayai untuk dijual ke pasaran tempatan,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurutnya, anggaran keseluruhan nilai rampasan adalah RM23,500.
Kesemua barangan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Pasir Mas untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
IMedikel TV






