NAIROBI: Pierre-Emerick Aubameyang berkata Gabon menumpukan kepada aksi kelayakan Piala Dunia Kumpulan F menentang Kenya dengan harapan tinggi untuk layak buat julung kali ke pusingan akhir tahun depan.
Penyerang berusia 35 tahun itu, yang terlepas aksi terakhir menentang Seychelles yang dimenangi Gabon 3-0, kembali untuk mengetuai pasukannya pada perlawanan penting di Nairobi.
“Kami satu pasukan yang bercita-cita besar. Kami hadir ke sini dengan satu impian untuk menang,” kata bekas penyerang Arsenal itu kepada wartawan.
“Ia satu sasaran besar buat kami untuk cuba layak ke Piala Dunia. Ia akan menjadi kunjungan pertama kami.”
Gabon menewaskan Kenya 2-1 pada aksi pertama di Stade de Franceville pada November 2023 dan menghuni tangga kedua dengan 12 mata daripada lima perlawanan, hanya satu mata di belakang pendahulu Ivory Coast.
Pemain terbaik tahunan Afrika pada tahun 2015, Aubameyang keluar daripada persaraan daripada bola sepak antarabangsa dan berkata dia mahu bermain hingga 2030.
Rakan serangannya Denis Bouanga meledak lima gol pada kempen kelayakan, kurang satu gol berbanding pendahulu penjaring gol terbanyak benua itu Mohamed Salah.
Kenya di tangga keempat dan terdesak untuk mengejar di bawah jurulatih baharu Benni McCarthy yang membuat penampilan sulung apabila seri 3-3 dengan Gambia Khamis lalu di Ivory Coast. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






