KOTA BHARU: Kemeriahan berbuka puasa di Masjid Muhammadi, di sini, adalah saat manis Ramadan yang pasti dirindui.
Masjid tersebut bukan sahaja menjadi tumpuan orang ramai untuk menunaikan solat lima waktu mahupun solat tarawih, malah menjadi tumpuan bagi mereka yang ingin merasa suasana berbuka puasa di masjid.
Tinjauan IMedikel TV mendapati orang ramai berpusu-pusu mengambil tempat masing-masing dengan membentangkan tikar dan menghidangkan juadah yang dibawa dari rumah mahupun membeli di bazar serta duduk bersila bersama keluarga masing-masing.
Nor Zainora Ramli, 34, dari Pasir Mas, berkata dia sangat teruja kerana dapat berbuka puasa bersama keluarga bagi sama-sama merasai kemeriahan berbuka puasa di masjid.
“Ini kali kedua saya datang berbuka puasa di sini. Minggu lepas saya datang bersama tiga anak dan suami.
“Namun kali ini, saya turut membawa ibu mertua datang berbuka puasa di sini. Pengalaman pertama kali datang berbuka di sini sangat menyeronokkan, jadi minggu ini saya datang lagi kerana aura yang kita dapat lain sangat,”katanya ketika ditemui, di sini.
Manakala seorang lagi pengunjung, Alif Ridlwan, 38, dari Pasir Mas, berkata dia mengambil peluang hari cuti untuk membawa keluarga berbuka puasa di masjid.
“Saya sampai di sini sebelum asar lagi dan menunaikan solat di masjid ini. Seronok berbuka puasa beramai-ramai dengan keluarga macam ini. Lagipun saya ingin merasai berbuka puasa di masjid untuk mendapat keberkatan.
“Melihat suasana yang sangat positif, insyaAllah mungkin selepas ini kita akan berkumpul lagi untuk berbuka puasa di masjid. Kalau kita lihat memang ramai orang dan agak sesak dengan pengunjung lain namun sangat meriah,”katanya.
Melihatkan suasana kemeriahan berbuka puasa di masjid, menjadikan masjid bukan sahaja lambang tempat beribadah bahkan ia juga menjadi lambang penyatuan ummah di bulan Ramadan.