Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
BACHOK: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas sebanyak 822, 400 batang rokok seludup dengan jumlah keseluruhan cukai sebanyak RM554,675 dalam kejadian berasingan di Jalan Kampung Mentera, Bukit Marak, di sini, pada 9 Mac lalu.
Pengarah Kastam JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long, dalam satu kenyataan hari ini berkata kira-kira jam 1.30 tengah hari Pasukan Operasi Cawangan Penguatkuasaan JKDM berjaya mengesan dan menahan sebuah kenderaan Toyota Hilux yang berada dalam keadaan yang mencurigakan, manakala pada hari yang sama, lebih kurang jam 2.30 petang pasukan operasi menyerbu sebuah stor di tempat sama.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan telah menjumpai terdapat pelbagai jenis rokok yang dipercayai barang larangan dimuatkan di dalamnya. Pemeriksaan tersebut telah dilakukan di hadapan pemandu kenderaan dan didapati jumlah rokok yang berjaya disita berjumlah 57,200 batang rokok yang bernilai RM10,420.
“Manakala pada kejadian kedua pada hari yang sama, hasil serbuan tersebut pasukan berjaya merampas 765,200 batang rokok pelbagai jenis rokok bernilai RM108,492 yang dipercayai barang larangan,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata dalam kedua-dua kes rokok diklasifikasikan sebagai barang larangan import yang tertakluk di bawah Butiran 1, Jadual Ketiga / Bahagian II Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
“Aktiviti penyeludupan tersebut menggunakan modus operandi mengedarkan atau berurusan di kawasan kawasan kampung.
“Kes ini masing-masing sedang disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
“Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak kurang dari sepuluh (10) kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama,”katanya.
Sehubungan dengan itu orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.
Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
IMedikel TV






