Home Sukan PSM SASAR KE FINAL DOUBLE DAN QUADRANT DI PIALA DUNIA BIHAR 2025

PSM SASAR KE FINAL DOUBLE DAN QUADRANT DI PIALA DUNIA BIHAR 2025

530
0

KUALA LUMPUR: Sasaran konservatif diletakkan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) terhadap skuad negara pada kejohanan Piala Dunia Bihar 2025 di India yang akan berlangsung dari 20 hingga 25 Mac ini.

Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, selepas menilai kekuatan semasa dan kekangan dihadapi skuad negara, pihaknya mengharapkan kedua-dua acara yang disertai skuad lelaki iaitu double dan quadrant mampu mara ke final.

Sumali berkata, sasaran itu diletakkan sekalipun pihaknya ada sedikit keraguan terhadap prestasi skuad bimbingan Ahmad Jais Baharun terutama dalam acara quadrant.

Pada edisi Piala Dunia tahun lalu, Malaysia yang menjadi tuan rumah berjaya membawa pulang dua pingat emas dalam acara regu dan double.

“Kita mempunyai sedikit keraguan terhadap prestasi dalam acara quadrant kerana kita baru sahaja memberi fokus kepada acara itu, jadi saya anggap kejohanan ini sebagai medan ujian untuk mengukur sejauh mana kemampuan pasukan kita,” katanya.

“Kita perlu akui bahawa kita masih belum cukup kuat dalam acara quadrant kerana ia kurang diberikan tumpuan. Tetapi apabila kita beraksi di Piala Asia nanti, saya mahukan pasukan quadrant ini mara ke final.

“Jadi mahu atau tidak, jurulatih perlu memikirkan strategi terbaik dan Bihar adalah platform ujian terbaik bagi acara ini.

“Bagi acara double, saya yakin dan berani meletakkan sasaran untuk mara ke final,” kata Sumali selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa tertinggi PSM, semalam.

Sementara itu, Sumali turut mengumumkan kehadiran semula bekas kapten negara, Muhammad Afifuddin Mohd Razali bagi menguatkan cabaran di Bihar.

Keputusan itu dibuat selepas PSM berdepan cabaran beberapa masalah termasuk mengumpulkan pemain yang mencukupi untuk kejohanan berkenaan.

“Kita berdepan masalah kekurangan pemain kerana beberapa pemain masih belum melaporkan diri akibat isu pelepasan daripada majikan dan beberapa masalah lain yang belum selesai.

“Justeru, kami mengambil keputusan untuk menambah seorang lagi pemain bagi menguatkan pasukan dan Muhammad Afifuddin dipilih kerana masih ada dua hingga tiga pemain yang belum dapat menyertai skuad,” katanya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here