Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Yayasan Telekom Malaysia memperuntukkan sebanyak RM30,000 dana untuk pemberian wang zakat serta bakul makanan kepada golongan asnaf, di sini, hari ini.
Pengurus Besar TM Kelantan, Khairul Anuar Ismail berkata, wang zakat dan bantuan itu diberikan terhadap 150 golongan asnaf di seluruh negeri ini.

“Kesemua mereka yang menerima adalah daripada golongan asnaf terdiri daripada anak yatim, keluarga B40, ibu tunggal, warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU).
“Dalam bakul makanan itu, terdapat makanan keperluan harian seperti beras, bihun, minyak dan lain-lain,” katanya ketika sidang media pada Program Cahaya Ramadan Yayasan TM 2025 di Mydin Mall, Tunjong di sini, hari ini.
Katanya, bantuan diberikan bagi meringankan kesulitan hidup yang dihadapi mereka terutama pada bulan Ramadan.
Sementara itu, penerima wang zakat Mohd Zakuan Che Abdullah, 39 bersyukur dan menarik nafas lega apabila menerima sumbangan tersebut.

Namun, Mohd Zakuan mengakui bantuan itu kurang mencukupi untuk dirinya menyara isteri Wan Nor Farhanis Wan Rasyid, 29 serta dua anak lelakinya berumur tiga dan lima tahun memandangkan dia tidak mampu bekerja kerana kakinya dipotong disebabkan penyakit kencing manis.
“Kaki saya dipotong pada paras lutut sebelah kiri sejak tahun lepas dan pada awalnya saya hanya demam dan muntah darah sehingga keadaan saya pada ketika itu nyawa-nyawa ikan.
“Dalam masa dua minggu, tapak kaki saya diserang luka dan terus merebak ke dalam tulang dan sekarang saya sudah tidak mampu melakukan apa-apa pekerjaan.
“Sejujurnya memang tidak cukup bantuan itu tapi walau apa pun saya tetap bersyukur dengan segala bantuan yang diberikan,” katanya.
Jelas Mohd Zakuan sebelum ini dia pernah bekerja sebagai juruteknik di sekitar Kota Bharu namun sekarang hanya bergantung sepenuhnya kepada bantuan yang diterima bagi meneruskan kelangsungan hidup.
Tambahnya, sebelum ini dia pernah menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II.
“Sepanjang berpuasa, saya dan keluarga makan ala kadar sahaja, dan segala kelengkapan raya masih belum dibuat..
“Tetapi alhamdulillah walau dengan keadaan saya begini, saya masih boleh membawa motosikal,” katanya.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat Kebudayaan, Warisan & Pelancongan Negeri Kelantan, Datuk Md Anizam Ab. Rahman merasmikan program tersebut.

IMedikel TV






