Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kuih Kerbau Guling atau lebih dikenali sebagai ‘Kuba Guling’, yang pernah tular di Kelantan hampir lapan tahun lalu, kini sekali lagi mencuri tumpuan orang ramai sebaik kedatangan bulan Ramadan.
Kuih itu turut dikenali sebagai Kuih Hitam atau Koleh Hitam biasanya dinikmati bersama kelapa parut.
Menurut peniaga kuih tersebut, Hasbullah Ismail, 40, dari Rantau Panjang, kuih itu bukan sahaja memiliki nama yang unik, malah warnanya yang hitam kerana dicampur dengan air tempurung bakar.
“Kalau kita tengok rata-rata peniaga lain yang jual kuih ini, warna kuih itu tidak menjadi hitam sebaliknya jadi warna biru kerana mereka menggunakan pewarna campuran.
“Warna asal kuih ini adalah warna hitam sebab memang kita guna air tempurung bakar dan ditambah juga dengan bahan-bahan lain untuk menambahkan rasa lemak pada kuih itu,” katanya.

Menurutnya, sejak awal Ramadan baru-baru ini, kuih tersebut sudah terjual sebanyak 50 dulang bersamaan 600 biji setiap hari kerana permintaan yang sangat tinggi.
“Permintaan terhadap kuih ini memang tinggi malah lebih tinggi daripada hari biasa,” katanya.
Jelas Hasbullah, antara bahan yang digunakan untuk membuat kuih itu termasuk tepung beras, tepung jagung, kelapa parut dan air tempurung bakar.
Katanya, setiap hari dia menyediakan 12kilogram kelapa parut bagi melengkapi keenakan kuih itu.
Hasbullah berkata, walaupun kos kelapa parut semakin meningkat, dia masih kekalkan harga jualan kuih bersama kelapa parut pada harga RM5 setiap satu.
IMedikel TV






