Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah, Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Isu gula-gula ‘gummy’ mata masih hangat diperkatakan selepas tular seorang kanak-kanak meninggal dunia akibat tercekik gula-gula tersebut baru-baru ini.
Kes itu menarik perhatian ramai pihak khususnya ibu bapa yang risau penjualan secara terbuka gula-gula itu bukan sahaja di media sosial malah di beberapa kedai yang mudah didapati.
IMedikel TV membuat tinjauan berkenaan isu itu dan menemubual ibu bapa bagi mendapatkan komen dan pendapat mereka.

Roziana Ramli, 44, dari Wakaf Bharu, berkata ibu bapa perlu memantau anak-anak dan memberi pendedahan untuk memilih gula-gula yang lebih selamat untuk dimakan dan keselamatan anak-anak.
“Seperti yang kita sedia maklum, gula-gula tersebut kenyal dan saiznya agak besar, jadi memang boleh membahayakan keselamatan anak-anak dan menyebabkan tercekik.
“Kita faham anak-anak bukan sentiasa ada dengan kita, jadi perlu untuk kita mengajar anak-anak tentang memilih gula-gula yang selamat untuk dimakan,”katanya.
Mengulas tentang penjualan pula, Roziana yang juga ibu kepada lima orang anak berkata sebaiknya pihak berkenaan mengambil berat tentang isu penjualan gula-gula tersebut.
“Bagi pendapat saya, hentikan penjualan gula-gula tersebut kepada umum khususnya kepada kanak-kanak.
“Tidak semestinya kita perlu menunggu aduan baru kita hendak mengambil tindakan. Kita perlu mengambil iktibar dari negeri lain dan daripada kes yang berlaku baru-baru ini,”katanya.
Manakala, ibu kepada empat cahaya mata, Shella Noraisah Mas’aud, 41, dari Kota Bharu, berkata pihak berwajib perlu membuat pemantauan berkenaan isu penjualan jajan di luar sekolah atau di kantin yang boleh dikatakan kurang sihat kepada kanak-kanak.

“Kalau kita lihat banyak makanan yang kurang sihat dijual kepada anak-anak kita. Bukan sahaja gula-gula tersebut malah banyak lagi makanan yang tidak bersesuaian.
“Kadang-kadang anak-anak ini mudah tertarik kepada benda baru sebagai contoh dari segi pembungkusan sesuatu makanan itu sendiri sekali gus menyebabkan rasa ingin tahu isi di dalam tanpa memikirkan kesan selepas mencuba atau merasa makanan tersebut,”katanya.
Menurutnya ibu bapa dan anak-anak perlu diberi pendedahan kerana terdapat banyak makanan yang dijual tidak diiktiraf selamat untuk dimakan berleluasa dijual di kedai-kedai terutama di sekolah mahupun luar sekitar sekolah.
“Isu hangat ini perlu diambil tindakan dengan kadar segera walaupun masih belum menerima sebarang aduan.
“Takkan kita nak tunggu kanak-kanak lain yang seterusnya menjadi mangsa baru ada tindakan, saya harap kerajaan negeri kita mengambil serius tentang kes ini,”katanya.
Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun di Georgetown, Pulau Pinang yang dipercayai tercekik gula-gula ‘gummy’ mata meninggal dunia.
IMedikel TV






