Home Politik PEMILIHAN CEC DAP: LOKE NAFI WUJUD DUA KEM DALAM PARTI

PEMILIHAN CEC DAP: LOKE NAFI WUJUD DUA KEM DALAM PARTI

403
0

SEREMBAN: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menafikan wujud dua kem dalam parti berkenaan menjelang pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) bulan depan.

Malah, beliau yang juga Menteri Pengangkutan menegaskan dakwaan berkenaan adalah sebagai perkara biasa yang dipercayai sengaja ditimbulkan oleh pihak luar.

“Saya anggap wujudnya kem tertentu dalam parti menjelang pemilihan adalah perkara biasa dan saya tidak terganggu sama sekali.

“Setiap kali pemilihan memang akan ada macam-macam dakwaan, tapi kita tidak endahkan. Pimpinan DAP berada dalam satu pasukan yang bersatu padu dan kuat.

“Kita tidak perlu ambil perhatian terhadap apa-apa dakwaan, sebab ia bukan daripada dalam, tapi daripada orang luar yang tiada kena mengena dengan pemilihan parti,” katanya kepada media di sini, petang ini.

Terdahulu beliau mengadakan Majlis Minum Petang Bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Parlimen Seremban dan Dewan Undangan Negeri (DUN), Chennah selain menyampaikan sumbangan Ramadan kepada JPKK.

Loke mengulas dakwaan yang tersebar di laman sosial berhubung kewujudan dua kem menjelang pemilihan CEC yang dijadualkan Mac ini membabitkan beliau dan Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban menyifatkan dakwaan berkenaan cuba menganggu gugat ketenteraman dalam parti itu.

“Mungkin ada yang dengki terhadap parti atau musuh politik kita dan sebagainya. Bagi saya ini perkara biasa dan kepemimpinan utama DAP adalah matang dan tahu menilai, tak perlu bergaduh tentang perkara seperti ini.

“Dalam parti hanya ada satu kem saja iaitu kem DAP,” tegasnya.

Berhubung pemilihan CEC terutama membabitkan kecenderungan pemimpin muda untuk bertanding, Loke menegaskan DAP sentiasa menekankan kepada proses peremajaan dalam parti.

Menurutnya, parti itu memerlukan muka baharu dan muda dalam setiap pemilihan termasuk meletakkan kalangan pemimpin muda sebagai calon dalam pilihan raya.

“Langkah ini untuk mendedahkan mereka dengan pengalaman kepemimpinan. Pemimpin muda dan wanita perlu diberi ruang menimba pengalaman sebagai pemimpin.

“Proses ini akan berterusan dan tidak akan berubah,” katanya sambil memaklumkan dalam CEC DAP terdapat 30 peratus wanita termasuk kalangan pemimpin muda. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here