Kuala Terengganu: Ketua jurulatih Kuala Lumpur City FC (KL City), Miroslov Kuljanac tabik terhadap pemainnya yang bangkit memburu kemenangan biarpun pada awalnya ketinggalan.
Jurulatih kelahiran Croatia itu berkata, kemenangan 2-1 itu sekali gus menjadi pemangkin semangat buat pasukannya selepas gagal menterjemahkan dengan kemenangan dalam beberapa aksi terdahulu.
Bagaimanapun jurulatih berusia 55 tahun itu akui masih banyak yang perlu diperbaiki terutama dalam aspek bertahan dan serangan dengan baki enam perlawanan lagi.
“Kami mungkin bernasib baik dapat memenangi perlawanan pada malam ini (malam tadi) yang boleh saya rumuskan aksi menarik dan mendebarkan selepas kedua-dua pasukan memperagakan aksi terbaik mereka.
“Saya perlu ucapkan tahniah kepada semua pemain yang kembali bangkit biarpun pada awalnya ketinggalan, malah lebih menggembirakan selepas kami tidak menang dalam beberapa perlawanan terdahulu.
“Saya harap pertemuan dengan Sabah pada Jumaat depan, pemain mampu meningkatkan lagi kualiti permainan bagi memastikan kami tidak pulang dengan tangan kosong,” ujarnya ketika ditemui selepas tamat perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam tadi.
Pada perlawanan itu, pemain gantian, Patrick Reichelt menghadiahkan tiga mata buat pasukannya selepas jaringan pada minit ke-79 disahkan pengadil hasil video bantuan pengadil (VAR). – HMetro –
IMedikel TV






