LONDON: Pengendali Chelsea, Enzo Maresca menganggap kemenangan 2-1 pasukannya ke atas West Ham satu keputusan penting selepas mereka bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk terus memburu misi empat teratas Liga Perdana Inggeris.
Chelsea ketinggalan hasil jaringan Jarrod Bowen tiga minit sebelum rehat tetapi mempamerkan permainan lebih mantap di babak kedua dengan pemain gantian, Pedro Neto menyamakan kedudukan sebelum gol sendiri Aaron Wan-Bissaka melonjak mereka ke tangga keempat.
“Ia sangat besar. Perlawanan ini sangat sukar terutama daripada segi mental. Bukan mudah apabila lawan datang ke sini dan hanya menunggu. Anda perlu sabar. Tidak ada ruang, anda perlu menggerakkan bola dan menanti masa yang sesuai.
“Di babak kedua kami bangkit dan secara keseluruhan kami berhak memenangi perlawanan ini. Mereka menunggu kesilapan kami dan anda tidak boleh kecewa,” kata Maresca.
Maresca melakukan lima pertukaran di babak kedua dengan Neto memberi impak paling besar selepas menggantikan Jadon Sancho.
“Ia sentiasa tentang pemain. Bukan pengendali. Ia apa yang kami rasakan (pertukaran) ketika permainan. Saya rasa kami perlu lebih baik di barisan hadapan daripada segi peluang dan lebih tajam,” katanya.
Chelsea kini mengumpul 43 mata daripada 24 perlawanan, dua mengatasi juara bertahan, Manchester City dan Newcastle United. – REUTERS, BH Online –
IMedikel TV






