Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Seramai 49 ahli berdaftar melalui Persatuan Kebajikan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima sumbangan bencana banjir, di sini, hari ini.
Timbalan Ketua Pengarah Operasi (JBPM), Datuk Ir Ts Ahmad Izram Osman berkata sumbangan itu dberikan bagi meringankan beban mereka.
Menurutnya bantuan banjir berjumlah RM40,250 itu diagihkan kepada 49 orang ahli daripada 72 pegawai dan kakitangan JBPM Kelantan yang terkesan akibat musibah banjir yang berlaku pada Disember 2024 lalu.

“Untuk hari ini juga seramai 11 orang balu turut sama menerima sumbangan atas dasar keahlian di dalam Persatuan Kebajikan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Saya mengambil kesempatan ini untuk bertemu atau memberikan sumbangan kepada balu dan juga waris mangsa-mangsa yang terlibat dalam kejadian banjir pada Disember tahun lalu. Semoga dengan bantuan ini dapat meringankan beban kewangan mereka.
“Bukan itu sahaja sumbangan turut diberikan kepada balu atau waris yang kehilangan suami iaitu wira-wira merah kita yang berkorban nyawa dalam memberi perkhidmatan kepada masyarakat,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Lawatan Kerja dan Sumbangan Kebajikan Pegawai Bomba, di Dewan Utama JBPM Kelantan, Tunjong, di sini, hari ini.
Hadir sama Pengarah JBPM Negeri Kelantan, PPjB Ts. Farhan Sufyan Borhan.
Ahmad Izram merangkap Yang Dipertua Persatuan Kebajikan JBPM, berkata lokasi seterusnya untuk pemberian sumbangan ini adalah di Terengganu.
“Untuk tahun ini lokasi pertama adalah di negeri Kelantan negeri. Esok kita akan ke Terengganu seterusnya kita akan pergi ke Pahang dan seterusnya kita akan ke Kedah.
“Selepas ini mungkin kita akan pergi ke Sabah dan Sarawak. Itu adalah misi kita untuk membantu meringankan beban. Kita tidak dapat memberi ganti rugi cuma kita dapat membantu meringkankan beban sahaja,”katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata melalui Persatuan Kebajikan JBPM adalah medan terbaik bagi Jabatan untuk membantu serta memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan dengan segera dan lebih cepat bagi meringankan beban kewangan mangsa, keluarga, waris pegawai dan anggota yang terkesan akibat kematian, bencana atau kemalangan.
“Saya dimaklumkan 23 pegawai dan kakitangan daripada jumlah tersebut tidak mendapat bantuan kerana mereka ini tidak berdaftar sebagai ahli Persatuan Kebajikan JBPM.
“Oleh yang demikian, saya ingin menyeru kepada seluruh warga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Kelantan agar menyertai keahlian Persatuan Kebajikan JBPM supaya tidak ketinggalan dalam menerima manfaat dan sumbangan seumpama ini,”katanya.
IMedikel TV






