Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
Golongan warga emas sering mengalami masalah pergerakan seperti jari menggeletar dan badan bergerak perlahan.
Tahukah anda, ia merupakan salah satu masalah yang boleh dikaitkan dengan penyakit Parkinson.
Tanpa disedari, ia mengganggu aktiviti harian mereka kerana tidak dapat melakukan aktiviti secara lancar.
Mereka yang mengalami masalah itu berkemungkinan menghadapi kesannya hingga bertahun-tahun.
Penyakit Parkinson berpunca daripada kemerosotan neuron yang menghasilkan dopamin pada otak.
Dopamin merupakan sejenis bahan kimia penting dalam otak yang memainkan peranan dalam pergerakan tubuh.
Meskipun penyakit ini lebih sinonim dengan orang tua, namun ia juga boleh dialami oleh golongan muda seawal usia 30an.
Bagaimanapun, warga emas yang mengalami penyakit ini bergejala menghadapi masalah seperti berikut:
- Menggeletar (pada jari, rahang dan muka)
- Kaku pada beberapa anggota badan seperti tangan dan kaki
- Badan bergerak perlahan (bradykinesia)
- Langkah pendek
- Sembelit dan kurang tidur
- Mengalami masalah ketidakseimbangan postur serta kordinasi badan sehingga mengakibatkan pesakit mudah jatuh.
Penyakit ini mempunyai tahap yang berbeza, dan ia juga tidak mempunyai rawatan yang khusus walaubagaimanapun, boleh dapatkan nasihat doktor untuk mengetahui cara yang sesuai untuk dilakukan bagi mengurangkan gejala tersebut.
Antara kaedah rawatan yang boleh dijalankan bagi mengurangkan gejala dan memperlahankan perkembangan penyakit ini adalah:
- Pengambilan diet sihat
- Amalan senaman dan rutin yang lebih aktif secara fizikal
- Pengambilan ubat yang disyorkan
- Pembedahan untuk pesakit yang sesuai
IMedikel TV






