Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) akan melaksanakan Program NIKMAT UNTUK RAKYAT PETRA (NUR@PETRA) dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM70 juta.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata Program NUR@PETRA adalah kesinambungan daripada kejayaan pelaksanaan Program Sustainability Achieved Via Energy Efficiency (SAVE) yang sebelum ini terhad kepada pengguna elektrik domestik.
“Peruntukan ini dibiayai Kementerian Kewangan dan Dana Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (AAIBE) yang terletak di bawah PETRA.
“Bagi menggalakkan lebih ramai pengguna elektrik membeli dan menggunakan peralatan cekap tenaga, program ini telah dijenamakan semula serta diperluaskan manfaat dan kumpulan sasarnya merangkumi pihak industri, komersial termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),”menurutnya dalam kenyataan.
Beliau berkata program NUR@PETRA menawarkan tiga kategori e-rebat iaitu, kategori pertama dikhaskan untuk pengguna domestik dengan tawaran e-rebat sehingga RM400 untuk pembelian penyaman udara atau peti sejuk cekap tenaga berlabel empat atau lima bintang oleh Suruhanjaya Tenaga (ST). Sebanyak 200,000 unit rebat disediakan berdasarkan konsep ‘siapa cepat, dia dapat’.
“Kategori kedua dikhaskan untuk PMKS dengan pemberian erebat sehingga RM4,000 untuk pembelian penyaman udara atau peti sejuk cekap tenaga berlabel 4 atau 5 bintang oleh Suruhanjaya Tenaga. PETRA menjangkakan hampir 1,250 premis PMKS akan mendapat manfaat daripada program ini.
“Kategori ketiga menyediakan e-rebat khusus untuk pengguna elektrik industri dan komersial bagi pembelian chiller cekap tenaga untuk kegunaan penyaman udara (comfort cooling) sahaja. Lebih 300 entiti perniagaan akan berpeluang meningkatkan kecekapan tenaga dalam sektor industri dan komersial,”katanya.
Tambahnya permohonan e-rebat untuk Program NUR@PETRA bagi kategori pertama akan mula dibuka esok (31 Jan) kategori kedua mulai 15 Feb manakala permohonan rebat untuk kategori ketiga akan dibuka pada 1 Mac.
Menurut beliau, pelaksanaan Program NUR@PETRA mampu menjimatkan penggunaan tenaga elektrik sebanyak 3,910 Gigawatt jam bersamaan dengan RM2.23 bilion bagi tempoh 10 tahun, serta menyumbang kepada pengurangan sebanyak 3.0 juta tan karbon dioksida, tertakluk kepada jangka hayat dan kecekapan pengoperasian peralatan berkenaan.
Maklumat lanjut mengenai kriteria, kelayakan, cara permohonan, mekanisme pelaksanaan serta senarai jenama dan model kelengkapan elektrik cekap tenaga di bawah Program NUR@PETRA boleh didapati dengan melayari laman sesawang rasmi di pautan www.seda.gov.my/nur.
IMedikel TV






