Home Buletin Semasa UTAMAKAN KESELAMATAN DAN KESELESAAN DI JALAN RAYA SEMPENA TAHUN BARU CINA

UTAMAKAN KESELAMATAN DAN KESELESAAN DI JALAN RAYA SEMPENA TAHUN BARU CINA

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA LUMPUR: Kerajaan melaksanakan Ops Bersepadu selama enam hari bermula semalam hingga 2 Februari ini sebagai langkah membantu kelancaran perjalanan pengguna jalan raya sempena perayaan Tahun Baru Cina 2025.

Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan, bagi meminimumkan risiko kemalangan jalan raya, Kementerian Kerja Raya (KKR) mewartakan penurunan had laju daripada 90km/j kepada 80km/j di semua Jalan Persekutuan sepanjang tempoh enam hari tersebut.

“Kerja-kerja pembinaan dan penyenggaraan jalan yang tidak kritikal akan dihentikan sementara agar tidak mengganggu aliran trafik sepanjang tempoh tersebut. Kerja-kerja kecemasan yang perlu disegerakan demi keselamatan pengguna akan dirancang dengan sebaiknya.

“Sekiranya perlu, laluan alternatif akan disediakan agar tidak mengganggu perjalanan pengguna ke destinasi yang dituju. Bagi memastikan kelancaran lebuh raya, pada 16 Januari lalu, saya telah mengeluarkan arahan kepada Syarikat Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) untuk menghentikan sementara kerja pelebaran lorong di jajaran Sedenak-Kulai bermula 23 Januari hingga 3 Februari ini,”katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menyarankan kepada semua pengguna jalan raya untuk mengambil beberapa langkah keselamatan untuk kelancaran semasa di jalan raya.

“Melakukan kesiapsiagaan sepenuhnya sebelum melakukan perjalanan meliputi memastikan menjaga kesihatan, mengambil masa rehat yang mencukupi sebelum dan semasa perjalanan agar tidak mengalami keletihan melampau dan rasa mengantuk ketika memandu.

“Memastikan kad debit, RFID dan kad Touch N Go mempunyai baki wang yang mencukupi bagi mengelakkan gangguan kesesakan kepada pengguna lain di plaza tol.

“Memeriksa kondisi kenderaan termasuk tayar supaya siap sedia untuk perjalanan jauh dan memandu kenderaan secara berhemah, sentiasa sabar dan mengikut undang-undang jalan raya,”katanya.

Tambahnya sejajar dengan semangat dan aspirasi Program MyJalan yang diterajui oleh KKR, semua pengguna jalan raya bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan diri dan penumpang serta keselamatan dan keselesaan pengguna yang lain.

“Anggaplah pengguna jalan raya lain sebagai ahli keluarga kita atau ahli keluarga besar Malaysia MADANI,”katanya.

Katanya operasi itu dilaksanakan secara bersama melibatkan agensi-agensi penguatkuasa termasuk Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here