Home Buletin Semasa 46 PENGAMAL MEDIA KELANTAN TERIMA SUMBANGAN TABUNG KASIH@HAWANA

46 PENGAMAL MEDIA KELANTAN TERIMA SUMBANGAN TABUNG KASIH@HAWANA

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Seramai 46 pengamal media dari Kelantan menerima sumbangan daripada Tabung Kasih@HAWANA.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata pengamal media tersebut adalah dalam kalangan mereka yang mempunyai masalah kesihatan serta terjejas banjir.

“Mereka adalah pelapor yang berjasa dan menabur bakti serta merakam sejarah yang tidak harus kita ketepikan terutama ketika berdepan cabaran dalam meneruskan kelangsungan hidup.

“Kita akan menyantuni mereka dengan memberi bantuan menerusi Tabung Kasih@HAWANA,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Pintu Geng, di sini, semalam.

Katanya, mereka adalah pemacu berita yang bertanggungjawab menyampaikan maklumat kepada masyarakat sama ada di dalam dan luar negara.

Fahmi turut menyampaikan sumbangan menerusi tabung tersebut kepada dua bekas pengamal media yang diuji dengan masalah kesihatan iaitu bekas pemberita sambilan Utusan Malaysia Hapizah Aziz, 71, yang menghidap penyakit kencing manis di kediamannya di Kampung Pintu Geng dan bekas Editor Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Zabidi Ishar, 55, yang mengalami masalah lemah paru-paru dan jantung bengkak sejak dua tahun lepas di Kampung Wakaf Stan, Kubang Kerian, di sini, pada Isnin.

Sementara itu, Zabidi ketika ditemui berkata, beliau sangat menghargai keprihatinan dan kedatangan rombongan pihak Kementerian Komunikasi serta Tabung Kasih@HAWANA yang turun padang menyampaikan sumbangan itu meskipun beliau sudah pencen dalam industri media.

“Saya mengucapkan jutaan terima kasih di atas keprihatinan mereka.

“Walaupun kami sudah pencen tetapi ia sekaligus mununjukkan mereka cakna kepada warga media.

“Bukan sahaja yang berpencen, malah bantuan itu juga diberikan kepada media yang masih bekerja dan tidak lupa juga kepada mereka yang mempunyai masalah kesihatan serta terjejas banjir baru-baru ini.

“Jumlah besar atau kecil itu bukan menjadi faktor utama, namun bersyukur dengan apa yang diberikan,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here