TAIPEI: Gempa bumi magnitud 6.4 melanda kawasan pergunungan di selatan Taiwan hari ini, berhampiran bandar Chiayi, menurut pentadbiran cuaca pulau itu, dengan laporan kerosakan kecil diterima.
Pengeluar cip, TSMC, memaklumkan bahawa pihaknya telah mengosongkan kakitangan di kilang-kilangnya di kawasan tengah serta selatan Taiwan, dan kesemua mereka dilaporkan selamat.
Gegaran turut dirasai di ibu kota, Taipei. Pusat gempa terletak di kawasan perkampungan Dapu dalam daerah Chiayi pada kedalaman 9.4 kilometer (km), dan ia berlaku sejurus selepas tengah malam, menurut pentadbiran cuaca.
Jabatan Bomba melaporkan beberapa individu terperangkap dalam bangunan yang rosak di bandar Tainan, dan sebahagian daripada mereka telah berjaya diselamatkan.
Jabatan Bomba Chiayi juga memaklumkan bahawa tiada laporan mengenai kehilangan nyawa setakat ini.
Seorang pegawai di Dapu, yang hanya dikenali sebagai Chi, memberitahu Reuters bahawa bekalan elektrik terputus di beberapa kampung dan beberapa bangunan mengalami kerosakan.
Jabatan Bomba Dapu pula memaklumkan bahawa tiada ‘tanda-tanda bencana besar’ setakat ini.
Taman sains di Tainan, yang menempatkan kilang besar termasuk milik TSMC, berkata bangunan-bangunan di kawasan itu telah dikosongkan.
Taiwan terletak berhampiran pertemuan dua plat tektonik dan sering dilanda gempa bumi. Pada 1906, gempa bumi Meishan berhampiran Chiayi mengorbankan lebih 1,200 nyawa.
Gempa besar terakhir di Taiwan berlaku pada April lalu, apabila gempa magnitud 7.2 melanda daerah Hualien di pantai timur, mengorbankan 13 orang.
Lebih 100 orang terkorban dalam gempa di selatan Taiwan pada tahun 2016, manakala gempa magnitud 7.3 pada tahun 1999 meragut lebih 2,000 nyawa. – REUTERS, BH Online –
IMedikel TV






