Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Seluruh pengguna media sosial dikejutkan dengan video yang tular berkaitan seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) kategori ketidakupayaan mental dipukul oleh beberapa orang di Pasar Tani Padang Astaka, Chukai, baru-baru ini.
Kejadian terbabit mengundang kesedihan, dan menyayat hati penonton yang melihatnya.
Menerusi video tersebut, jelas kelihatan beberapa orang lelaki menyerang mangsa secara fizikal seperti menyeret, menendang dan memukulnya, mengakibatkan kecederaan pada muka dan badan dengan bersaksikan orang awam.
Terdapat satu perkongsian di Facebook “Cikgu Mie” yang menceritakan tentang mangsa terbabit dan mengatakan mangsa adalah bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu.
Cikgu Mie dalam ciapan Facebooknya berkata, mangsa diuji dengan penyakit mental, namun sebaik habis persekolahan, mangsa berusaha menjalankan pelbagai jenis perniagaan di sekitar Kemaman.
“Dia memang kuat usaha dan tidak susahkan orang lain walaupun dia mempunyai kad OKU ketika itu.
“Tapi seiring waktu berlalu mungkin dia sudah semakin keliru bahkan kadang-kadang sukar untuk dirinya mengawal kewarasan itu,” katanya dalam ciapan Facebook.
Cikgu Mie sempat menasihati masyarakat supaya bertindak sebagai manusia yang waras.
“Akibat kejadian ini sekarang sudah dengar khabar angin masyarakat nak boikot Pasar Tani Kemamam jadi siapa yang rugi?,” katanya.
Dalam perkembangan sama, I Medikel TV sempat bertanyakan pendapat seorang pekerja swasta yang ingin dikenali sebagai Izzi berkata, meskipun manusia mempunyai amarah, ia perlu dikawal kerana tindakan seperti memukul lelaki OKU sehingga lunyai adalah salah.
“Ada yang mengatakan kesemua mereka tidak tahu mangsa terbabit adalah OKU, walaubagaimanapun tidak kira dia OKU atau normal, kita tidak boleh memukul orang secara melampau dan perlu berfikir sebelum bertindak walau macam mana marah sekalipun.
“Sebaiknya, serahkan kepada pihak berkuasa untuk menguruskan kes tersebut,” katanya ketika ditemui di Kota Bharu, di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, mangsa diserang fizikal oleh beberapa individu yang dipercayai peniaga dan pelanggan kerana didakwa menaiki motosikal dengan tahap kelajuan di sekitar pasar tani sehingga melanggar gerai jualan menyebabkan makanan jualan terjatuh.
IMedikel TV






