LONDON: Ipswich Town mengumumkan perpindahan pemain sayap, Jaden Philogene, dari Aston Villa dengan kontrak selama empat setengah tahun.
Yuran perpindahan dilaporkan bernilai sekitar £22 juta (RM127 juta).
Pemain berusia 22 tahun itu menjadi pemain kedua yang ditandatangani Ipswich dalam jendela perpindahan Januari selepas Ben Godfrey yang dipinjam dari Atalanta.
Philogene, pemain antarabangsa England Bawah-21, kembali ke Villa dari Hull pada musim panas lalu dengan kontrak jangka panjang tetapi gagal mendapat tempat dalam pasukan utama Unai Emery.
Kini, dia berharap untuk memulakan lembaran baharu di Portman Road.
“Saya teruja berada di sini dan tahu ada ramai pemain hebat dalam pasukan,” katanya.
“Sebagai pemain, menjalin hubungan permainan, dan mencipta peluang gol serta bantuan jaringan. Saya tak sabar untuk bermula.”
Pengurus Ipswich, Kieran McKenna, menyifatkan Philogene sebagai tambahan penting untuk projek mereka.
“Dia adalah pemain yang kami sukai dan cuba bawa masuk dalam jendela perpindahan sebelum ini. Kami percaya dia mempunyai kualiti untuk menyumbang di sini,” kata McKenna.
“Proses ini mengambil masa lebih lama daripada yang diingini, tetapi apa yang pasti ialah Jaden yakin dengan projek kami. Ia adalah urus niaga rumit kerana dia pemain muda yang baru menandatangani kontrak lima tahun dengan Aston Villa pada musim panas lalu.”
Ipswich, yang kini di tangga ke-17 Liga Perdana Inggeris, akan menerima kunjungan Brighton.
Pasukan itu berada di luar zon penyingkiran hanya berdasarkan perbezaan jaringan. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






