Home Buletin Semasa 242 USAHAWAN TEMPATAN MANFAAT ILMU DIGITALISASI DENGAN KOREA SELATAN

242 USAHAWAN TEMPATAN MANFAAT ILMU DIGITALISASI DENGAN KOREA SELATAN

184
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Kerajaan komited meningkatkan prestasi Perniagaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dengan melatih seramai 3,000 usahawan termasuk 242 dari negeri ini untuk mendapat manfaat ilmu digitalisasi secara berstruktur.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantauan) Kementerian Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Noor Afifah Abdul Razak berkata, pelaksanaan latihan itu adalah menerusi Projek Peningkatan Kemahiran Digital dan E-Dagang Usahawan PMKS Wanita ASEAN (IDEAS) dengan kerjasama Korea Selatan.

“Projek ini merupakan projek di bawah inisiatif ASEAN dengan kerjasama Korea Selatan yang sudah melaksanakan program ini setiap tahun.

“Seramai 242 usahawan wanita yang telah dilatih untuk digitalisasi dan seperti yang kita lihat hari ini ada 129 yang hadir untuk graduasi dan 170 yang sebenarnya layak untuk graduasi di bawah program ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Penganugerahan Sijil Tamat Latihan Usahawan IDEAS Malaysia di H Elite Hotel, di sini, hari ini.

Menurutnya, hampir 21 peratus usahawan wanita seluruh negara memberi sumbangan terhadap sektor ekonomi khususnya dalam bidang perkhidmatan, pembuatan dan pertanian.

“Mengikut statistik yang ada 21 peratus daripada perniagaan di Malaysia ini adalah perniagaan milik wanita jadi kita berharap agar peratusan ini terus meningkat dan kita tahu ramai usahawan wanita dan kita mempunyai pelbagai program untuk membantu usahawan wanita,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata terdapat peningkatan usahawan menggunakan platform perniagaan dan sosial seperti Lazada, Shopee, TikTok dan Instagram sebagai pilihan platform bagi meluaskan akses kepada pelanggan.

“Kita jangkakan banyak program melibatkan wanita akan terus dilaksanakan memandangkan tema ASEAN di bawah kepengerusian Malaysia,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here