Home Buletin Semasa AKTA HAKMILIK STRATA DITAMBAHBAIK

AKTA HAKMILIK STRATA DITAMBAHBAIK

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) telah melaksanakan pindaan serta penambahbaikan terhadap Akta Hakmilik Strata 1985 [Akta 318] bagi tujuan menangani pelbagai isu yang dihadapi penduduk perumahan bertingkat, khususnya kediaman strata kos rendah dan sederhana rendah.

Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata usaha itu untuk memantau dan memastikan skim-skim strata yang sedang atau akan dibangunkan dapat disediakan dokumen hak milik strata mengikut kehendak perundangan semasa.

“NRES menerusi Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) berbincang hal ini dalam sesi libat urus dengan Jabatan Perumahan Negara, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Ukur, Jabatan Pemetaan Malaysia (JUPEM), PTG negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

“NRES turut menubuhkan Kumpulan Wang Amanah Tabung Khas Hakmilik Strata (TKHS) pada 7 Februari 2018 dengan objektif utama TKHS bagi menangani isu ketiadaan hakmilik strata untuk Skim Bangunan Khas di Semenanjung Malaysia,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Penyampaian Mock Title Skim Desa Seri Maju Padu Apartment, Penambang di sini, hari ini.

Nik Nazmi berkata isu Skim Bangunan Khas tidak memiliki hak milik strata berlaku apabila pemilik tanah dan pemaju gagal memohon pecah bahagi bangunan bagi tujuan pendaftaran hak milik strata kerana ketidakcukupan dokumen atau telah gulung tikar (bagi kes pemaju).

“Akibatnya, pembeli unit kediaman berstrata (petak) akan dibebani kos kewangan yang tinggi bagi menyelesaikan pelbagai isu seperti bayaran tunggakan cukai tanah, bayaran premium tanah, kos pengukuran, kos permohonan hak milik strata dan pindahmilik,” katanya.

Beliau berkata sebanyak enam skim telah berjaya didaftarkan hakmilik strata termasuk skim Desa Seri Maju Padu Apartment, Kota Bharu dan skim itu telah mendapat pembiayaan dana berjumlah RM90,580.48 daripada TKHS yang diselia NRES dan JKPTG.

“Hak milik strata bagi skim berkenaan berjaya didaftarkan pada 1 Ogos tahun lalu hasil kerjasama antara agensi-agensi di bawah Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dengan 40 pembeli petak mendiami apartment tersebur sejak 1991,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here