Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Langkah proaktif diambil untuk menambah baik pemantapan Arahan Tetap Operasi Penguatkuasaan (ATOP), termasuk memperkukuh Standard Operasi Prosedur (SOP) berkaitan e-waste, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Nik Nazmi Nik Ahmad.
Beliau dalan satu kenyataan berkata ia dilaksanakan selaras dengan tanggungjawab di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 untuk meningkatkan keberkesanan Tindakan penguatkuasaan selain memperkukuh integriti dan profesionalisme dalam melindungi alam sekitar.
“Pihak kami memandang serius laporan siasatan oleh Suruhanjaya Integriti Penguatkuasaan (EAIC).
“Sebagai tambahan, pihak kami menegaskan bahawa usaha ini melibatkan penambahbaikan menyeluruh terhadap prosedur dan garis panduan operasi meliputi aspek pemantauan, penguatkuasaan, dan penyiasatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, langkah tersebut diambil bagi memastikan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih cekap, telus, dan bertanggungjawab.
Justeru, NRES melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut menekankan kawalan ketat terhadap kemasukan e-waste ke negara ini.
“Usaha ini bagi mematuhi peruntukan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta selaras dengan peraturan antarabangsa seperti Konvensyen Basel Mengenai Kawalan Pergerakan Merentas Sempadan Buangan Berbahaya dan Pelupusannya.
“Selain itu, langkah ini juga termasuk pemeriksaan ketat di pintu masuk negara, kerjasama strategik dengan agensi berkaitan, dan penggunaan teknologi pemantauan terkini bagi memastikan tiada kemasukan e-waste yang boleh menjejaskan alam sekitar atau kesihatan awam,” katanya.
Bagaimanapun, NRES kekal komited melaksanakan inisiatif tersebut bagi memastikan pengurusan buangan yang mampan dan bertanggungjawab demi kelestarian alam sekitar negara.
IMedikel TV






