Home Buletin Semasa PENDUDUK GOTONG ROYONG BINA JAMBATAN BULUH SEMENTARA

PENDUDUK GOTONG ROYONG BINA JAMBATAN BULUH SEMENTARA

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PASIR MAS: Sebuah titi sementara sepanjang seratus meter bagi menggantikan jambatan konkrit yang menghubungkan sembilan kampung yang lain runtuh akibat banjir 28 November lalu.

Inisiatif membina titi tersebut adalah daripada Penduduk Mukim Rong Chenok, di sini, bagi kemudahan mereka berulang alik khususnya ke sekolah.

Imam muda Masjid Mukim Rong Chenok, Mohd Zahir Johari berkata, titi yang dibina menggunakan buluh itu hasil gotong-royong penduduk kampung dan kini sudah 80 peratus siap.

“Titi tersebut mula dibina 3 Januari lalu dan penduduk kampung meluangkan masa tiga atau empat jam sehari untuk membina titi itu sebelum melakukan pekerjaan harian mereka.

“Tujuan utama kita bina rakit sementara ini antara lainnya untuk perhubungan sementara bagi memudahkan aktiviti harian penduduk terutama untuk anak-anak ke sekolah sementara menunggu jambatan baharu dibina,”katanya.

Tambahnya buluh tersebut diperoleh daripada penduduk di perkampungan Siam yang menyediakannya secara percuma demi kemudahan penduduk di mukim tersebut.

“Kami berterima kasih kepada mereka yang membantu. Ini kerana titi tersebut dibina merentasi permukaan sungai yang dipenuhi rumput dan tidak sesuai dilalui oleh kenderaan termasuk motosikal.

“Jadi, kami mengambil inisiatif untuk membina jambatan tersebut dengan menggunakan buluh,”katanya.

Menurutnya apabila jambatan itu siap dibina penduduk tidak lagi perlu melalui jalan jauh yang mengambil masa 45 minit atau satu jam untuk ke sekolah, kebun serta klinik kesihatan.

Dia juga berharap agar jambatan kekal dapat dibina secepat mungkin demi keselamatan dan kemudahan penduduk kampung.

Sebelum ini media melaporkan lebih 1,000 pengguna jambatan yang menghubungkan sembilan buah kampung di Mukim Rong Chenok, Pasir Mas terputus hubungan apabila jambatan utama yang menghubungkan kampung tersebut runtuh akibat banjir pada 28 November lalu.

Jambatan yang merentasi Sungai Lemal itu menghubungkan Kampung Chandang, Kampung Joh, Kampung Pok Kelong, Kampung Rong Chenok, Kampung Banggol Kuching, Kampung Mahligai, Kampung Anak Machang, Kampung Hutan Petai, Kampung Jelor dan Kampung Sungai Keladi

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here