Home Buletin Semasa TIGA RAKYAT MALAYSIA DIDENDA RM12,000 GUNA PANGKALAN HARAM MASUK SEMPADAN

TIGA RAKYAT MALAYSIA DIDENDA RM12,000 GUNA PANGKALAN HARAM MASUK SEMPADAN

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

PASIR MAS: Tiga rakyat tempatan didenda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memasuki Malaysia dari Thailand menggunakan Pangkalan Haram pada 3 Januari lalu.

Ketiga-tiga mereka adalah penumpang bot tambang iaitu Lim Wu Han, 34, sepasang suami isteri, Rajmidi Sahli, 50 dan Nursyuhada Abdullah, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Izdham Naim Che Ani.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa memasuki Malaysia dari Thailand bertempat di Tebing Sungai Pangkalan Haram Jambu Rantau Panjang, di sini menggunakan laluan yang tidak dibenarkan pada 1.30 petang, 3 Januari lalu.

Berdasarkan fakta kes, Pasukan Gerakan Am (PGA) membuat pemantauan dan pemerhatian selama lima minit di sekitar Pangkalan Haram Jambu Rantau Panjang dan ketika pemantauan dijalankan, anggota telah melihat ketiga-tiga tertuduh dari Pangkalan Haram turun menaiki bot dibawa seorang lelaki dari arah Thailand dan terus menghampiri tebing terbabit.

Dalam kejadian itu, anggota berkenaan melihat ketiga-tiga mereka menaiki tebing itu, manakala pemandu bot telah kembali semula ke Pangkalan Haram di Thailand dan anggota bertindak menghampiri bot tersebut serta memperkenalkan diri sebagai pegawai polis.

Siasatan awal yang dijalankan ke atas ketiga-tiga tertuduh didapati merupakan warganegara Malaysia dan mempunyai kad pengenalan diri.

Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 5(1) Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 57 akta sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Syazalia Che Suhaimin manakala kesemua tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Nabila Mohd Noordin.

Terdahulu, Syazalia memohon supaya hukuman setimpal dan pengajaran kepada kesemua tertuduh agar menggunakan laluan yang dibenarkan, bagaimanapun, Nabila dalam rayuannya meminta hukuman denda paling minimum diberikan kepada mereka berikutan Lim hanya bekerja sebagai pembantu kedai, manakala Rajmidi sebagai penyelia tapak serta Nursyuhada pula adalah suri rumah.

Mohd Izdham Naim kemudian memerintahkan ketiga-tiga tertuduh itu dikenakan denda sebanyak RM4,000 setiap seorang, sekiranya gagal bayar tertuduh boleh dipenjara selama sebulan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here