KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia melihat kebangkitan yang ditampilkan pasangan profesional, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang kini bergelar beregu utama negara meningkatkan semangatnya.
Selepas beberapa tahun berada di ‘atas’, Aaron dan gandingannya Soh Wooi Yik akhirnya tiba di Terbuka Malaysia yang bermula esok sebagai beregu lelaki kedua terbaik negara.
Berdasarkan ranking, Aaron-Wooi Yik yang juga pemenang pingat gangsa Olimpik Paris 2024 kini menghuni ranking keenam dunia manakala Sze Fei-Izzuddin yang bulan lalu menamatkan aksi Jelajah Dunia Akhir BWF sebagai naib juara di tangga ketiga.
Begitupun bagi Aaron, situasi itu tidak begitu difikirkan kerana apa yang utama adalah mereka turut membawa nama Malaysia dan fokus kepada permainan mereka sendiri.
“Saya lihat perkara ini sebagai sesuatu yang bagus untuk beregu lelaki negara secara keseluruhan.
“Tak penting siapa nombor satu atau dua tetapi yang yang penting adalah kami semua mewakili Malaysia.
“Saya gembira untuk mereka (Sze Fei-Izzuddin) dan mereka juga memang benar-benar bermain dengan cukup baik ketika ini dan layak untuk kedudukan itu. Jadi untuk kami, kami akan berjuang untuk diri kami sendiri,” kata Aaron ketika ditemui ketika sesi menyesuaikan diri dengan gelanggang Terbuka Malaysia di Axiata Arena, hari ini.
Dalam pada itu, Aaron yang menamatkan kempen Terbuka Malaysia tahun lalu di suku akhir mengakui bukan mereka saja mahu menamatkan kemarau pemain negara di Terbuka Malaysia, malah semua pemain yang mengibarkan cabaran Malaysia.
“Saya percaya bukan kami saja, tetapi semua pemain-pemain negara nak menang selepas kita sudah enam tahun tak menang di laman sendiri.
“Tetapi ia tidak mudah kerana ada keterujaan dan juga tekanan tetapi saya percaya semua pemain akan cuba beri yang terbaik,” katanya. – BH Online –
IMedikel TV






