Home Hiburan ILLA SABRY PERNAH ALPA, HAMPIR DIBUANG UNIVERSITI

ILLA SABRY PERNAH ALPA, HAMPIR DIBUANG UNIVERSITI

301
0

KUALA LUMPUR: Dua dekad hilang dari radar, kemunculan Illa Sabry dalam Konsert By Ajai & Mega Friends, Ogos lalu mengubati kerinduan peminat terhadap penyanyi Keranamu Kekasih yang pernah menjadi lagu tema filem Gerak Khas The Movie.

Sejak itu, ramai mengharapkan kepulangan semula Illa atau nama sebenarnya, Fasillah Sabry dalam persada muzik tanah air.

Permintaan dipenuhi penyanyi berusia 45 tahun apabila menyertai program realiti, Gegar Vaganza musim ke-11.

“Sebenarnya ibu bapa melarang saya kembali, tetapi suami tidak menghalang.

“Tapi, saya memilih mencuba kerana rasa rindu nak pegang mikrofon selepas konsert bersama Ajai.

“Pada mulanya agak janggal juga membuat kemunculan semula kerana suasana industri muzik sangat berbeza berbanding dulu.

“Tapi, minggu demi minggu berada dalam program GV 11, akhirnya saya dapat menyesuaikan diri,” kata Illa ditemui di Restoran Cik Gebu miliknya di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Illa sempat berada dalam pancaran dunia glamor selama beberapa tahun, sebelum nekad meninggalkan bidang nyanyian bagi menumpukan perhatian kepada pengajian dalam bidang perakaunan di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang pada 2004.

Kata Illa, bidang nyanyian disertai ketika sedang menuntut di USM menyebabkannya pernah alpa seketika.

Namun, katanya, dia sanggup meninggalkan bidang nyanyian demi cita-cita menggenggam segulung ijazah atas nasihat keluarga.

“Bakat saya disedari kerana aktif menyertai Dewan Budaya di USM. Di situ saya diminta menyertai uji bakat dan dilamar sebagai penyanyi.

“Secara kebetulan, produser dan pengarah, Datuk Yusof Haslam nampak saya dan tawarkan saya untuk berlakon.

“Masa itu, saya masih muda dalam usia 20 tahun. Ibu bapa tak setuju saya jadi penyanyi, mereka nak saya habiskan pengajian.

“Oleh kerana sibuk dengan undangan persembahan, saya hampir di buang universiti. Iyalah, dalam usia muda dan pendapatan pula lumayan, saya hampir tak terfikir nak habiskan belajar,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia sedar pengajian harus diberi keutamaan kerana susah payah diterima masuk ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan kemudian sambung pengajian di USM menyebabkannya tidak mahu sia-siakan peluang itu.

“Saya merasakan tak serasi dengan dunia hiburan sebab banyak perkara tak menyeronokkan berlaku. Tapi, bukan semuanya tak seronok, ada juga yang seronok dalam dunia seni.

“Apa yang tak seronok bila ‘job’ tak dibayar. Saya sebenarnya seorang yang ‘intovert’, jiwa saya lebih kepada berniaga.

“Ketika hilang hampir 20 tahun, saya buat perniagaan pengiklanan dan restoran,” katanya yang juga pemilik Restoran Cik Gebu yang memiliki tiga cawangan. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here