Oleh: Afrizam Arif@Wartawan IMedikel TV
KOTA BHARU: Seorang ejen sindiket penyeludupan manusia melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI) direman tiga hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam.
Majistret Mohd Fauzan Mohd Suhairi membenarkan lelaki berusia 25 tahun itu ditahan reman semalam (Jumaat) sehingga Ahad (esok) nanti.
Suspek direman di Mahkamah Majistret, Kota Bharu, Kelantan bagi membantu siasatan lanjut.
Suspek dipercayai cuba menyogok seorang pegawai polis dengan wang tunai RM50,000 untuk melindungi kegiatan haram berkenaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Jika sabit kesalahan, lelaki itu boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun, didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Terdahulu media melaporkan, tindakan ejen sindiket cuba menyogok pegawai polis dengan wang tunai RM50,000 bagi melepaskan dirinya dan tiga tekong terbabit penyeludupan PATI di Jalan Sri Cemerlang dan Jalan Besar Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, Kelantan pada 9 Disember lalu, mengundang padah apabila ditahan polis, 7 Disember lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, mereka ditahan dalam Op Taring Wawasan Kelantan, dijalankan sepasukan Briged Tenggara dan Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM).
IMedikel TV






