Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Aktiviti pengeksportan produk sarang burung walet mentah bersih dan belum bersih dari Malaysia ke China perlu ditangguhkan sementara disebabkan wabak Newcastle Disease (ND) yang dikesan pada ayam dan itik bermula 20 Disember lalu.
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dalam satu kenyataan memaklumkan, penangguhan itu berlaku apabila China menerusi Pentadbiran Am Kastam Republik Rakyat China (GACC) memohon agar pengeksportan itu ditangguhkan walaupun tiada pengesanan penyakit ND pada premis dan produk sarang burung walet yang dieksport itu.
“Ia bagi mengelakkan sebarang penyakit berlaku dan juga selaras dengan Protokol Produk Sarang Burung yang Dieksport dari Malaysia ke China, pada masa sama, Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH) juga sudah maklum berkenaan wabak ini.
“Rentetan daripada penangguhan pengeksportan tersebut, sebanyak 22 konsainan berjumlah 1.769 (tan metrik) bernilai RM 7,233,302 terdiri daripada 13 syarikat pengeksport berhadapan dengan masalah pelepasan di pintu masuk negara tersebut,” menurut kenyataan itu.
Mengulas lanjut, bagi menangani isu tersebut, DVS turut berbincang bersama pengeluar dan pengeksport sarang burung walet Malaysia bagi memberikan maklumat terkini dan mendapatkan langkah penyelesaian isu tersebut.
Selain itu, laporan termasuk tindakan pengurusan berkenaan wabak ND turut dihantar kepada GACC bagi memberi jaminan memastikan produk itu bebas daripada penyakit.
“Dalam pada itu, DVS sedang mengemaskini Protokol Produk Sarang Burung yang Dieksport dari Malaysia ke China untuk dikemukakan kepada GACC supaya aktiviti pengeksportan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” menurut kenyataan itu.
Justeru, DVS komited dalam memastikan pematuhan terhadap keperluan eksport antarabangsa serta melindungi kepentingan pengeksport dan pengeluar tempatan.
IMedikel TV






