Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: “Permohonan pensijilan halal Malaysia masih bersifat sukarela dan terbuka kepada mana-mana industri yang bersedia untuk mematuhi semua keperluan, piawaian dan standard pensijilan halal Malaysia,” kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee dalam satu kenyataan, pada Ahad.
Beliau menjelaskan bahawa Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju mengekalkan dasar sedia ada dan setakat ini tidak ada undang-undang mewajibkan mana-mana pihak untuk memohon sijil halal tersebut.
Bagaimanapun katanya bagi pemegang sijil tersebut, mereka akan mendapat nilai tambah melalui tahap komitmen yang tinggi untuk sentiasa mematuhi standard dan piawaian pensijilan halal.
“JAKIM dan pihak berkuasa agama negeri sentiasa bertindak aktif menggalakkan pengusaha memohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan dalam masa yang sama, boleh menjalin kerjasama strategik dengan pelbagai agensi pembimbing di peringkat persekutuan dan negeri.
“Pada masa sama, ia boleh memberi jaminan kualiti kepada produk atau perkhidmatan yang dikeluarkan dan nilai tambah kepada perniagaan dalam memperluaskan pasaran,” katanya.
Mengulas lanjut, berhubung tindakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang mewajibkan pengusaha premis makanan dan minuman untuk memiliki SPHM, itu merupakan usaha PBT dalam mempromosi SPHM agar bilangan pemegang SPHM di bawah pentadbirannya semakin meningkat.
“Namun begitu, JAKIM berharap agar PBT dapat memberi penjelasan yang tuntas dan menyeluruh berkaitan pelaksanaan dasar baharu ini bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dalam kalangan pengusaha dan orang ramai,” katanya.
IMedikel TV





