Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
JELI: Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan kegiatan penyeludupan minyak petrol yang dikesan di Stesen Minyak Caltex Batu Melintang, di sini, pada Jumaat.
Komander Bridged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid berkata sepasukan anggota Batalion (BN) 9 PGA merampas minyak petrol yang berada dalam sebuah kereta kira-kira jam 9.00 malam.
“Rampasan dilakukan oleh anggota kami apabila ternampak sebuah kereta jenis Proton Wira dalam keadaan mencurigakan di stesen minyak tersebut semasa membuat rondaan Op Taring Wawasan.
“Bagaimanapun pemilik kenderaan melarikan diri dan meninggalkan kenderaannya di stesen minyak. Hasil pemeriksaan mendapati tong minyak yang mengandungi lebih 600 liter minyak petrol ditemui dalam kenderaan terbabit dan dipercayai untuk diseludup ke Thailand,”katanya dalam kenyataan.
Menurutnya anggaran nilai rampasan keseluruhan bernilai RM 1230 dan kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. Hasil rampasan dibawa ke Komtak Taman Bakti untuk tindakan selanjutnya.
IMedikel TV






