MAGDEBURG: Suspek dalam kes rempuhan kereta di bandar Magdeburg, Jerman didapati bertindak sendirian, kata pihak polis, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Jurucakap polis semasa sidang media di Magdeburg pada petang Sabtu berkata berdasarkan perkembangan semasa siasatan, kemungkinan wujudnya suspek kedua boleh diketepikan.
Menurut Ketua Balai Polis Magdeburg, Tom-Oliver Langhans suspek menggunakan laluan kecemasan untuk sampai ke dataran utama.
Keseluruhan tragedi itu berlangsung selama kira-kira tiga minit, tambahnya.
Suspek yang merempuh kereta ke arah orang ramai di pasar Krismas di bandar itu pada Jumaat menyebabkan lima maut dan 200 yang lain cedera.
Canselor Jerman, Olaf Scholz bersama pegawai atasan lain, termasuk Menteri Dalam Negeri, Nancy Faeser dan Menteri Kehakiman, Volker Wissing, pada Sabtu melawat lokasi rempuhan kereta yang meragut nyawa di pasar Krismas di Magdeburg, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Sekurang-kurangnya empat orang, termasuk seorang kanak-kanak, terkorban manakala 41 lagi cedera parah selepas sebuah kereta merempuh orang ramai pada petang Jumaat. Beberapa media melaporkan lebih 200 orang cedera dalam tragedi itu.
Suspek yang kini dalam tahanan polis, merupakan seorang doktor warga Arab Saudi yang tinggal dan bekerja di Bernburg, sebuah bandar di selatan Magdeburg, menurut pegawai.
Scholz dan rombongannya terlebih dahulu bertemu dengan pegawai Kabinet serantau, termasuk Perdana Menteri Negeri Saxony-Anhalt, Reiner Haseloff.
Faeser pada Sabtu pagi mengarahkan semua bendera di bangunan Persekutuan dikibarkan separuh tiang di seluruh negara.
Satu upacara peringatan akan diadakan di Katedral Magdeburg pada pukul 7 malam (1800 GMT). – BERNAMA-dpa, BH Online –
IMedikel TV






