Home Sukan NSFC PERLU TAMATKAN BADI DI LAMAN SENDIRI

NSFC PERLU TAMATKAN BADI DI LAMAN SENDIRI

SEREMBAN: Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), K Nanthakumar akui banyak ‘kerja rumah’ yang perlu dilakukannya menjelang pertembungan dengan Terengganu FC, dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Sabtu ini.

Ia susulan prestasi kurang baik dipamerkan skuad Hobin Jang Hobin selepas tewas besar kepada Selangor FC, 0-4, dalam aksi Liga Super di gelanggang sama, kelmarin.

Kekalahan itu meletakkan Negeri Sembilan kembali berada di dasar liga hasil kutipan enam mata.

“Saya perlu meneliti semula faktor-faktor yang boleh memberi kesan dan mengganggu persembahan pasukan seperti mana apa yang telah mereka pamerkan dalam perlawanan dengan Selangor, tempoh hari.

“Kena lihat balik sebarang kelemahan-kelemahan dan perlu segera perbaikinya supaya ia tidak berulang lagi pada perlawanan dengan Terengganu FC, Sabtu nanti.

“Sebagai jurulatih, saya pasti nak menang (bertemu Terengganu) apa lagi perlawanan diadakan di tempat sendiri dan tiap-tiap kali pun kita nak buat yang terbaik, tapi kadang kala ia tidak menjadi,” kata Nanthakumar, hari ini.

Pengendali kelahiran Perak berusia 47 itu sedar pasukan bimbingannya perlu bangkit dengan persembahan lebih baik, selain perlu memanfaatkan kelebihan yang ada bagi mendapatkan kemenangan, sebagai bekalan sebelum menghadapi perlawanan timbal balik di tempat lawan.

Bekas pemain pertahanan tengah kebangsaan itu berharap pemain Negeri Sembilan segera melupakan kekalahan kepada Selangor dan kembali fokus kepada cabaran menentang Terengganu.

“Pemain perlu bina semula kekuatan dan perkemaskan balik persembahan seperti mana dalam latihan kerana cabaran menentang Terengganu adalah sukar.

“Saya akan berusaha perbaiki kelemahan yang ada dalam tempoh beberapa hari ini dan apa yang membimbangkan saya ialah jika persembahan di padang tidak seperti mana yang dirancangkan ketika latihan.

“Saya berharap situasi sebegitu tidak berulang pada perlawanan dengan Terengganu nanti kerana kita perlu dapatkan bekalan yang baik sebelum bertandang ke tempat lawan,” katanya.

Untuk rekod, Negeri Sembilan mara ke peringkat suku akhir Piala Malaysia musim ini selepas mengenepikan cabaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC, pada pusingan 16 pasukan dengan agregat 4-2. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here