Home Buletin Semasa KKM CATAT LEBIH 10,000 KES PENYAKIT BAWAAN AIR BERLAKU DI PPS SELURUH...

KKM CATAT LEBIH 10,000 KES PENYAKIT BAWAAN AIR BERLAKU DI PPS SELURUH NEGARA

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

TUMPAT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencatatkan lebih 10,000 kes penyakit bawaan air yang berlaku di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) seluruh negara sepanjang tempoh bencana banjir hingga 6 Disember, kelmarin.

Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, daripada jumlah tersebut, pihaknya mengesan sebanyak 6,730 kes jangkitan saluran pernafasan.

“Selain itu, kes jangkitan kulit adalah 3,021, keradangan lapisan usus 298, konjuntivitis 190, ‘Chicken Pox’ 20 serta penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) 13.

“Bagaimanapun, tiada wabak penyakit berjangkit dilaporkan di PPS dan kesemua kes penyakit berjangkit adalah sporadik dan stabil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas melawat PPS Di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat, di sini, hari ini.

Selain itu, beliau berkata sebanyak 121 fasiliti kesihatan turut terjejas banjir di enam negeri iaitu 77 di Kelantan, 30 di Terengganu, Sembilan di Kedah manakala satu di Perak serta dua masing-masing di Negeri Sembilan dan Pahang.

“Daripada jumlah itu, 87 fasiliti kesihatan dapat beroperasi manakala 31 terpaksa berpindah kepada fasiliti alternatif dan tiga lagi tidak dapat beroperasi kerana masih dalam proses pembersihan.

Namun begitu, jelasnya orang ramai masih boleh mendapat perkhidmatan kesihatan di fasiliti kesihatan termasuk fasiliti alternatif seperti biasa.

Susulan itu, KKM turut menggerakkan sebanyak 119 pasukan Rapid Assessment Team (RAT) dan 109 Rapid Response Team (RRT) di setiap negeri yang terjejas bagi membantu mangsa banjir di PPS.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here