GENTING HIGHLANDS: Pengarah filem Rain Town, Tunku Mona Riza menganggap pelakonnya, Fabian Loo, 34, seorang yang sangat positif dan berbakat besar.
Tunku Mona mengulas demikian selepas Fabian tidak mendapat tempat dalam kelompok Top 5 bagi mana-mana kategori di Festival Filem Malaysia (FFM) ke-33, Sabtu ini.
Menurut Tunku Mona, dia percaya Fabian bakal menjadi satu nama besar dalam industri hiburan satu hari nanti.
“Fabian seorang yang ‘chill’ (ceria) dan tidak beritahu sama ada kecewa atau tidak (tidak tercalon FFM), namun ketika dia dapat tahu Rain Town dapat sembilan nominasi, dia terus ucap tahniah.
“Masa dia bersama dengan saya untuk Rain Town, kemampuannya cukup terserlah sejak sesi uji bakat untuk watak Isaac. Jadi, saya yakin dengan bakatnya itu.
“Sudah semesti saya dan produksi agak terkilan bila dia tidak tercalon dalam FFM sebab itu antara pentas anugerah berprestij bagi penggiat filem tempatan,” katanya.
Menurut Tunku Mona, dia bagaimanapun bersyukur apabila kebolehan Fabian mendapat pengiktirafan juri luar selepas dinobatkan pemenang Anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik Kuala Lumpur (FFAP) ke-61, di sini, malam tadi.
“Kemenangan Fabian sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi filem Rain Town pada festival ini adalah sesuatu yang besar untuk kerjaya lakonannya.
“Saya percaya bakatnya akan terus menyinar,” katanya ditemui Harian Metro selepas malam kemuncak FFAP.
Fabian melakar sejarah peribadi dalam karier sebagai pelakon dengan kemenangan pada malam anugerah itu.
Kejayaannya itu turut mengenepikan saingan sengit rakan senegara, Farid Kamil untuk filem Gold yang berkisar kepada jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou. – Hmetro Online –
IMedikel TV






