TEL AVIV: Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada Isnin berkata, pihaknya akan terus melakukan operasi ketenteraan terhadap kumpulan bersenjata Lubnan yang disokong Iran, Hizbullah.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat walaupun perjanjian gencatan senjata dicapai di Lubnan.
“Perkara yang paling penting bukanlah (perjanjian yang) akan dibentangkan di atas kertas,” kata Netanyahu kepada Parlimen Israel.
“Kami akan dipaksa untuk memastikan keselamatan kami di utara (Israel) dan menjalankan operasi secara sistematik terhadap serangan Hizbullah… walaupun selepas gencatan senjata untuk menghalang kumpulan itu daripada berkembang semula,” katanya.
Netanyahu juga memaklumkan tiada bukti bahawa Hizbullah akan menghormati sebarang gencatan senjata yang dicapai.
“Kami tidak akan membenarkan Hizbullah kembali kepada keadaannya sebelum 6 Oktober 2023, sebelum serangan Hamas di selatan Israel,” katanya.
Hizbullah melancarkan serangan ke utara Israel sebagai tanda sokongan kepada Hamas, sejak setahun lalu.
Ia mencetuskan serangan balas dengan Israel yang memuncak dengan perang pada akhir September tahun ini.
“Kerajaan Lubnan sebahagian besarnya menyokong cadangan gencatan senjata AS untuk menamatkan perang Israel-Hizbullah dan sedang menyediakan ulasan terakhir sebelum bertindak balas kepada Washington,” kata seorang pegawai Lubnan kepada AFP pada Isnin lalu.
Israel menegaskan bahawa sebarang perjanjian gencatan senjata mesti menjamin tiada lagi kehadiran Hizbullah di kawasan yang bersempadan dengan Israel. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






