PARIS: Pemain Poland Piotr Zielinski dihujani dengan kritikan apabila bergambar dengan Cristiano Ronaldo selepas pasukannya dibelasah 1-5 oleh Portugal dalam saingan Liga Negara-Negara, kelmarin.
Namun pemain tengah itu ketika sidang media semalam berkata, tiada sebab untuk menyorok walaupun pasukannya mengalami kekalahan memalukan.
Ronaldo menjaringkan dua gol dalam perlawanan itu dan media Poland dan serta penyokong kurang senang apabila kapten Zielinski dan rakan sepasukan Nicola Zalewski tersenyum ketika bergambar dengan penyerang Portugal itu.
Ketika sidang media menjelang perlawanan terakhir Poland menentang Scotland awal pagi esok, Zielinski ditanya mengenai topik itu oleh wartawan.
“Ia seperti ini, saya dan Nicola menghampiri Ronaldo dan Ronaldo tak keberatan bergambar dengan kami,” kata Zielinski.
“Saya tak nampak itu satu masalah. Saya tak berminat apa yang berlaku di media sosial. Bagi saya, Cristiano Ronaldo antara pemain terbaik dalam sejarah.
“Kami tewas, jadi perlukah saya menyorok?. Saya mendekatinya, kami bergambar dan itu sahaja dan saya fikir saya menyukainya.”
Poland yang menduduki tangga ketiga gagal ke suku akhir tetapi jika berjaya mengelak kekalahan di tangan Scotland, bermakna mereka memasuki peringkat penyingkiran/promosi dan tersingkir automatik daripada Liga A jika tewas. – REUTERS, HMetro Online –
IMedikel TV






