BURTON UPON RENT: Pengendali sementara England, Lee Carsley sering memberitahu Taylor Harwood Bellis, bahawa suatu hari nanti dia akan menyertai pasukan utama Three Lions.
Carsley memberitahu perkara berkenaan ketika mengendalikan skuad bawah 21 tahun tatkala Harwood Bellis menjadi ketua pasukan.
Akhirnya apa yang diperkatakan Carsley menjadi kenyataan, selepas England menyenaraikan pertahanan Southampton itu untuk kem latihan senior pertamanya bagi perlawanan Liga Negara-Negara Kumpulan B2 menentang Greece dan Ireland minggu ini.
“Untuk dipanggil ke pasukan utama, ia sudah tentu satu cabaran besar, dengan kualiti yang ada dalam skuad ini, tetapi beliau sentiasa berkata jika anda bermain dengan baik di peringkat tertinggi dan melakukan yang terbaik anda boleh (disenaraikan)… dan beliau menepati kata-katanya, jadi saya sangat gembira,” kata Harwood Bellis.
Pemain berusia 22 tahun itu sudah mula memikirkan untuk mengukuhkan tempatnya menjelang ketibaan pengurus baharu, Thomas Tuchel, pada 1 Januari, mengetahui Tuchel pasti akan memerhatikan beliau.
“Rasanya ia akan menjadi motivasi besar bagi semua pemain, mengetahui ada pengurus baru yang akan datang dan mahu mengekalkan tempat dalam pasukan,” kata Harwood-Bellis selepas sesi latihan pada hari Selasa di St. George’s Park.
“Ia akan menjadi satu cabaran besar dengan peranan ini dan kekal dalam skuad senior. Ia akan sukar, kerana kualiti dan pengalaman pemain-pemain lain yang tidak berada di sini adalah sangat besar.”
Carsley terpaksa membuat perubahan besar dalam skuadnya selepas beberapa pemain utama menarik diri kerana kecederaan.
Trent Alexander Arnold, Bukayo Saka, Declan Rice, Phil Foden, Jack Grealish, Levi Colwill, Cole Palmer dan penjaga gol Aaron Ramsdale semuanya tidak dapat bermain menentang Greece di Athens pada hari Jumaat atau Ireland di Wembley tiga hari kemudian.
Ditanya mengenai perwatakan yang ingin ditunjukkan olehnya, dia berkata, mahu menjadi dirinya sendiri,
“Itu pesanan yang selalu saya pegang, hanya menjadi diri sendiri, percaya diri, dan lakukan apa yang saya lakukan di kelab saya,” katanya. – REUTERS, HMetro Online –
IMedikel TV






