Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA KRAI: Tekad mengumpul wang untuk menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi, sanggup keluar rumah seawal 6.30 pagi dan membuat dua pekerjaan.
Nik Sufia Ahmad Fauzi, 18, dari Kampung Batu Mengkebang, di sini, ingin mengumpul duit sendiri bagi mencapai cita-citanya ke menara gading.

“Pada waktu pagi saya bekerja sebagai pembantu kedai sehingga petang dan selepas itu terus bekerja pula sebagai pembantu kepada seorang peniaga di pasar malam,”katanya.
Menurut Nik Sufia, disebabkan masalah kewangan keluarga dan tidak ingin membebankan ibu bapanya, dia sanggup berpenat sedikit.
Katanya, sebelum ini dia pernah mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran di sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Sabah tetapi atas sebab jarak dan memerlukan kos yang tinggi untuk ke sana dia mengambil keputusan untuk menolak tawaran itu.
“Ayah (Ahmad Fauzi) melakukan kerja-kerja pendawaian secara kecil-kecilan. Kebanyakan pelanggan ayah penduduk kampung dan jiran tetangga. Pendapatan yang diperolehi adalah sekitar RM300 hingga RM400 sebulan.
“Manakala ibu, Syarifah Nasuha suri rumah sepenuh masa menguruskan rumah dan adik-adik,”katanya.
Anak kelima daripada sembilan beradik itu berkata dia kini mendapat tawaran di sebuah IPT di bawah kelolaan Majlis Amanarh Rakyat (MARA).
“Saya menerima tawaran untuk mengikuti program Bachelors in Communication ( Hons ) In Corporate Communication di Universiti Poly Tech Malaysia ( UPTM ) dan perlu mendaftar diri pada Disember ini,”katanya.
Namun, usaha gigih Nik Sufia bekerja masih belum mencukupi untuk menampung perbelanjaan mendaftar di universiti nanti.
Bagi mereka yang ingin menghulurkan sumbangan kepada Nik Sufia, boleh terus salurkan ke YAYASAN RAJA SHAMRI, BIMB – 030 900 100 66 340.
IMedikel TV






