Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memandang serius beberapa kes melibatkan penderaan fizikal dan kes seksual melibatkan pelajar sekolah agama swasta.
Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, dalam suatu kenyataan berkata perkara itu sangat mendukacitakan dan sangat terpesong daripada prinsip mendidik mengikut Islam.
“Para pendidik sepatutnya memberi contoh teladan yang baik kepada para pelajar sesuai dengan peranannya sebagai seorang pendidik. Tidak boleh sama sekali, sistem pendidikan dan kurikulum Islam yang dilaksanakan di sekolah merosakkan prinsip manusiawi dan ihsan atas alasan membentuk sahsiah Islam kepada para pelajar
“Kes terbaharu yang tular melibatkan 4 pelajar yang hilang dari sebuah sekolah tahfiz dan ditemui di Bukit Jelutong kerana disyaki didera dan menjadi mangsa seksual, jika benar berlaku, ia suatu yang sangat memalukan, melampau, tidak bertamadun dan terkeluar sama sekali daripada konsep mendidik yang ditetapkan oleh Islam,”katanya dalam kenyataan.
Katanya mendidik dalam Islam sangat dekat dengan sikap para guru, hati nurani guru untuk mendidik dengan ikhlas dan sabar, bersangka baik kepada pelajar dan sentiasa mendoakan pelajar dalam apa juga keadaan.
“Guru sebagai wahana menyampaikan ilmu perlu memanfaatkan ruang pengajaran dan pembelajaran sebagai ruang bagi pelajar menjadi insan yang ikhlas dalam menerima ilmu, bersangka baik dan menghormati para guru, bukannya interaksi yang melahirkan ketakutan dan mengambil kesempatan daripada para pelajar,”katanya.
Tegasnya JAIS mengingatkan kepada jemaah pengurusan, pentadbir dan para guru sekolah agama swasta di Negeri Selangor, bahawa JAIS tidak akan teragak-agak menamatkan pendaftaran mana-mana sekolah agama swasta di Negeri Selangor mengikut Seksyen 15 Enakmen Pengawalan Sekolah Agama Islam 1988 Pindaan (2001) jika didapati sekolah terlibat dengan penderaan dan gangguan seksual kepada pelajar atau apa sahaja bentuk perbuatan tidak wajar yang menyanggahi prinsip asas Islam.
Katanya JAIS juga akan mengambil tindakan menutup sekolah terlibat mengikut Seksyen 25 enakmen yang sama.
Beliau menasihatkan agar ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memerhati perkembangan anak-anak dari semasa ke semasa agar kelainan sikap dan tingkah laku anak- anak dikesan di peringkat awal dapat dihadapi dengan langkah-langkah yang sesuai dan tepat seterusnya dapat mengekang daripada keadaan semakin buruk dan merosakkan masa depan para pelajar.
“Mengikut Seksyen 8 enakmen, pihak sekolah swasta adalah tertakluk untuk didakwa dan mendakwa. Selain kes jenayah, ibu bapa dan penjaga turut boleh mendakwa dan menuntut hak anak-anak jika telah diperlakukan selayaknya untuk dibawa ke muka pengadilan,”katanya.
IMedikel TV






