Home Sukan EE WEI BERHATI-HATI DALAM LATIHAN SELEPAS LENGAN DIJAHIT

EE WEI BERHATI-HATI DALAM LATIHAN SELEPAS LENGAN DIJAHIT

249
0

Kuala Lumpur: Pemain beregu campuran negara, Toh Ee Wei masih mengambil pendekatan berhati-hati biarpun mula turun menjalani latihan di gelanggang, bermula Selasa minggu lalu.

Ee Wei terpaksa menerima 16 jahitan di lengan kiri berikutan luka dialami akibat terkena serpihan kaca selepas tergelincir ketika memegang dumbell di gimnasium, hujung bulan lalu.

Menurutnya, kini dia perlu memastikan keadaan dirinya kembali pulih sepenuhnya sebelum menyusun semula jadual pertandingan.

Katanya, kecederaan itu menyebabkan Ee Wei dan pasangannya, Chen Tang Jie terlepas dua kejohanan iaitu Terbuka Artik dan Denmark yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Keadaan itu turut menyebabkan peluang mereka menyertai Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir 2024 di Hangzhou, China Disember ini menjadi samar.

“Sekarang ini saya sudah mula menjalani latihan. Masih ada sakit lagi, tapi semuanya okey.

“Plaster di tangan sudah dibuka dan dua hari lalu dan ia semakin baik, cuma saya masih berhati-hati takut terjatuh,” katanya.

Mengulas mengenai perancangan kejohanan selepas terlepas dua kejohanan utama, pemain berusia 24 tahun itu menyerahkan sepenuhnya kepada jurulatihnya, Nova Widianto.

“Ini kali pertama perkara ini terjadi kepada saya. Sekarang memang tak ada perancangan untuk pergi kejohanan mana lagi.

“Tengok keadaan macam mana dalam tempoh dua minggu ini kemudian baru kami rancangan pertandingan seterusnya,” kata juara Terbuka Korea itu yang kini menghuni ranking kesembilan dunia.

Berdasarkan ranking Jelajah Dunia, Tang Jie-Ee Wei berada di kedudukan kedua mengatasi Goh Soon Huat-Shevon Lai di tangga ketiga dan sedang dikejar gandingan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing di tangga kelima.

Bagaimanapun, mereka masih mempunyai dua kejohanan untuk mengutip mata sebelum jelajah dunia iaitu Masters Jepun (12-17 November) dan Masters China (19-24 November). – HMetro –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here